ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Aktiviti pembakaran di Sumatera Tengah Indonesia, menjadi
punca munculnya jerebu di beberapa kawasan pantai barat Semenanjung,
termasuk ibu negara.
Tiupan angin barat daya ketika aktiviti pembakaran membawa asap ke
negara ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri
G.Palanivel.
Beliau berkata menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre
(ASMC) berpusat di Singapura Sabtu lalu, wujud lingkaran asap jerebu
sederhana dari kawasan kebakaran di wilayah Riau negara itu.
"Pihak ASMC melaporkan bilangan titik panas (hotspot) yang dikesan
melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration
(NOAA) di Sumatera pada 21 Jun adalah sebanyak 88," katanya dalam satu
kenyataan di sini, hari ini.
Imej satelit itu turut mengesan 17 titik panas di dalam negara iaitu Pahang (1), Sabah (5), Sarawak (10) dan Terengganu (1).
"Dalam keadaan cuaca panas dan kering serta keadaan atmosfera yang
statik (tenang), habuk-habuk terampai yang dibawa merentas sempadan
akibat kebakaran tanah dan hutan kekal berkumpul dalam ruang udara dan
menyebabkan keadaan sedikit berjerebu," katanya.
Palanivel berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa memantau bagi mencegah pembakaran terbuka.
Katanya, 194 pegawai JAS diberi kuasa menangkap penjenayah alam sekitar
di bawah peruntukan Seksyen 37 C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,
(Pindaan) 2012.
Sementara itu, menurut portal JAS, 30 kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana.
No comments:
Post a Comment