KLANG - Polis menahan 13 pembantu rumah warga asing bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi dalam sebuah gaung berdekatan Genting Highlands semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, mereka ditahan untuk direman susulan penahanan seorang ejen yang membekalkan pekerja asing dan isterinya pada Selasa.
"Kesemua 13 pembantu rumah itu bersama-sama ejen tersebut dan isterinya direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.
"Bagaimanapun, punca utama kematian bayi itu masih dalam siasatan kerana keputusan akhir bedah siasat belum diketahui," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.
Beliau berkata polis sedang mengesan saki-baki pembantu rumah yang pernah dibekal ejen itu bagi mengumpul maklumat dan dipercayai jumlah mereka melebihi 20 orang.
Media hari ini melaporkan ejen itu dan isterinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung aduan seorang pembantu rumah yang kehilangan bayi hujung bulan lepas.
Penahanan suspek terbabit membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki berusia enam bulan dalam keadaan kembung dan berulat di sebuah gaung berdekatan Genting Highlands pukul 11 pagi semalam.
Abdul Samah berkata siasatan diteruskan sehingga tempoh tahanan reman tamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama
No comments:
Post a Comment