Tuesday, May 6, 2014

NGO: Waspada Melayu Kristian seperti Muslim

MALAYSIAKINI


 


Sebuah NGO Muslim hari ini memberi amaran agar orang Melayu berwaspada terhadap kewujudan Melayu Kristian yang hidup seperti Muslim dan menyembunyikan kepercayaan mereka.

Setiausaha Agung, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) Abd Karim Omar mendakwa golongan itu tidak menyimpan tanda salib di rumah dan tidak melakukan upacara keagamaan di depan orang lain.

Malah mereka kadang kala didakwa melakukan ibadah Muslim seperti berpuasa dan ke masjid, serta tidak mempamerkan sebarang bahan bacaan Kristian di rumah mereka.

Menurutnya, kewujudan golongan itu adalah berdasarkan satu disertasi kedoktoran berjudul “Religious identity and life of Malay Christians of Malaysia”.

Disertasi itu didakwa disediakan John Cheong pada September 2012 sewaktu mengikuti pengajian peringkat kedoktoran falsafah di Trinity International University, Illinois.

Beliau berkata demikian pada "Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” di Shah Alam, petang ini.

Menurutnya, gerakan ini dikenali sebagai 'gerakan dalaman' dan jika ia berterusan, populasi Kristian Malaysia yang kini 9.2 peratus daripada penduduk Malaysia boleh meningkat kepada 40 peratus dan sama ramai dengan Muslim.

'Kontekstualisasi' mubaligh


Beliau memberi contoh penganut Kristian di Nigeria yang mewakili 21.4 peratus daripada populasi negara itu pada tahun 1953 berkembang biak kepada 49.3 peratus tahun 2010.

Jumlah itu mengatasi populasi Muslim di negara itu pada tahun 2010 yang hanya membentuk 48.8 peratus.

"Bolehkah ini berlaku di Malaysia?" tanya beliau kepada hadirin seminar itu.

Bagaimana pun, Karim tidak menyokong unjuran populasi Kristian di Malaysia itu selain daripada membandingkannya dengan perkembangan penganut agama itu di Nigeria.

Jelasnya lagi, kewujudan komuniti Melayu Kristian ini adalah hasil 'kontekstualisasi' mubaligh Kristian.

Ia adalah strategi menyuai padan elemen agama asal seorang Muslim ke dalam agama Kristian.

Menurutnya, golongan itu tidak perlu ke gereja tetapi cukup dengan berbaju Melayu, berkopiah dan membaca Bible dengan meletakkannya di atas rehal, seperti membaca al-Quran.

No comments: