MALAYSIAKINI
Semua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) disyaratkan memasang
kamera litar tertutup (CCTV) sebagai mematuhi syarat dalam jadual
pematuhan 2014 untuk kerja-kerja menaik taraf kem berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi
Awang Kechil berkata pemasangan CCTV itu adalah sebagai langkah
keselamatan dan ia perlu dipasang di pintu masuk bilik kediaman, dewan
makan dan beberapa kawasan yang telah ditentukan.
Katanya setiap pengusaha kem perlu melakukan semua kerja menaik taraf
kemudahan di kem masing-masing sebelum pertengahan 2015. Setakat ini,
terdapat 12 kem dari Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah telah
mengemukakan pelan susun atur menaik taraf kem latihan.
"Tempoh yang diberikan kepada pengusaha untuk melakukan kerja menaik
taraf telah bermula Januari tahun ini dan semua pelan susun atur bagi
kerja menaik taraf perlu mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan,"
katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di PLKN Kem Syruz,
Machang Bubuk di Bukit Mertajam hari ini.
Abdul Hadi berkata, pengusaha kem yang gagal melakukan pengubahsuaian
akan berdepan tindakan pembatalan kontrak," katanya sambil menambah kos
perlu ditanggung pengusaha.
Beliau berkata antara perkara utama yang perlu dibangunkan semula ialah
menaik taraf dewan makan, tandas yang mencukupi dan pelebaran serta
pembesaran kawasan padang kawad dan kemudahan sukan bagi bola jaring,
bola keranjang, bola tampar, sepak takraw, bola sepak dan futsal.
"Kemudahan surau juga perlu dibangunkan, lantainya mestilah jubin dan
kemudahan tempat berwuduk yang mencukupi. Selain itu perlu ada kawasan
pejalan kaki berbumbung di antara bilik kuliah," katanya.
Katanya, pengusaha kem juga perlu menyediakan bangunan untuk jurulatih
seperti bilik guru untuk mereka melakukan aktiviti serta menaik taraf
bilik kediaman pelatih.
"Kesemua bangunan mestilah konkrit sepenuhnya dan bukan separuh simen," katanya.
Setakat ini terdapat 80 kem PLKN yang beroperasi di seluruh negara dengan 31,000 pelatih.
- Bernama
No comments:
Post a Comment