RAKYATNEWS
GEORGETOWN - Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan
Cheng Guan, akan memfailkan petisyen berhubung keputusan Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor atas dakwaan wujud salah laku DAP
semasa hari pengundian kelmarin.
Cheng Guan yang juga calon PRK itu mendakwa mempunyai bukti bergambar
serta klip video menunjukkan ejen DAP berkumpul serta mendirikan khemah
di kawasan kurang 50 meter dari sempadan pusat mengundi.
"Ini bertentangan dengan peraturan pilihan raya. Sebaik sahaja keputusan
pilihan raya digazet saya akan kemukakan semua bukti yang saya ada,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau turut mendakwa terdapat sebuah khemah didirikan di Kampung Kastam
oleh penyokong DAP menggunakan logo Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan
boleh mengelirukan orang ramai, tetapi lambang itu diturunkan setelah
aduan dibuat.
Cheng Guan turut
mendakwa kehadiran lebih 1,000 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS)
di beberapa pusat mengundi sebagai tidak perlu dan hanya bertujuan
memancing undi memandangkan polis sudah menempatkan anggota yang
mencukupi bagi mengawal keselamatan.
Cheng Guan berkata, dua laporan telah dibuat kepada polis dan pejabat SPR semalam berhubung perkara itu.
Terdahulu, Huan melawat Pasar Air Itam untuk mengucapkan terima kasih
kepada mereka yang mengundi beliau dan menyampaikan penghargaan kepada
media serta semua pihak yang menyokong kempennya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ramkarpal Sing Deo kerana berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu untuk DAP.
Pada pilihan raya kecil itu, Ramkarpal, 38, yang juga anak ketiga mendiang Karpal Singh, menang dengan majoriti 37,659 undi.
Beliau memperoleh 41,242 undi menewaskan Huan yang mendapat 3,583 undi
serta dua calon Bebas iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar (799
undi) dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan (225 undi).
No comments:
Post a Comment