MALAYSIAKINI
Pengerusi Pasukan Bertindak Badan Pemantau Jenayah (MyWatch), R Sri
Sanjeevan hari ini menyelar pihak polis kerana bertindak lambat dalam
penyiasatan berhubung kes jenayah ke atas dirinya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada sebarang tindakan
susulan terhadap kes tembakan yang berlaku kepada dirinya Julai tahun
lalu yang sehingga kini masih tiada tangkapan.
"Malah saya sehingga kini tidak tahu siapa pegawai penyiasat saya. Saya
ditembak di Jempol tetapi pegawai penyiasat dari Seremban.
"Tak ada tindakan susulan, saya harap ada tindakan lanjut dari polis," kata beliau dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Sanjeevan turut mendedahkan beliau telah menerima tiga butir peluru
hidup 9mm di dalam peti surat rumah keluarganya di Kampung Taman Jaya,
Bahau dua hari lalu.
"Peluru ini sama jenis dengan yang telah tembak saya tahun lalu," kata beliau lagi.
Sanjeevan juga mendakwa polis bertindak “berat sebelah” kerana beliau
sebagai rakyat Malaysia tidak menerima perlindungan keselamatan sama
seperti sesetengah orang lain.
"Kalau melibatkan orang berkepentingan seperti menteri, kes disiasat dengan begitu cepat.
"Bila berkaitan kes yang hampir meragut nyawa saya masih tiada tindakan," kata beliau.
Pada 27 Julai tahun lalu, Sanjeevan ditembak oleh seorang pembonceng
motosikal semasa beliau berada dalam sebuah kereta dalam kejadian di
Jempol, Negeri Sembilan.
Peluru mengenai siku kanannya dan menembusi sebelah kanan tulang rusuk
sehingga mengakibatkan beliau koma selama 35 hari di Hospital Serdang.
Polis telah mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sanjeevan mendakwa kejadian tersebut berlaku kerana beliau telah
mendedahkan sidiket pengedaran dadah melibatkan pegawai tinggi polis di
Negeri Sembilan.
Katanya, beliau juga masih menunggu untuk bertemu dengan Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim berhubung
kes tersebut.
Beliau berkata, pertemuan itu masih belum berlaku walau telahpun diarahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau juga sebelum ini menuntut polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia mengambil tindakan dua anggota polis di Johor yang didakwa
memiliki wang berjumlah RM1.5 juta dalam akaun masing-masing.
"Jika polis tidak mengambil tindakan MyWatch tidak teragak-agak untuk mendedahkan nama mereka," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment