MALAYSIAKINI
Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi
yang memerintah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar ganti rugi
RM12,320 kepada Majlis Peguam kerana menceroboh dan menurunkan tiga
sepanduk yang dipasang di premisnya bagi menyambut Hari Hak Asasi
Manusia pada 2007.
Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail sebulat
suara menolak rayuan DBKL supaya diketepikan keputusan Mahkamah Tinggi
itu.
Hakim-hakim Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer turut menganggotai panel.
Pada 2009, Majlis Peguam memfail tindakan sivil terhadap Datuk Bandar
Kuala Lumpur dengan mendakwa beberapa pegawai DBKL memasuki premisnya di
Jalan Leboh Pasar Besar di Kuala Lumpur pada 9 Disember 2007 dan
menurun serta merampas sepanduk berkenaan.
Majlis itu mendakwa tindakan pegawai DBKL itu menyalahi undang-undang dan perlembagaan.
Tiga sepanduk itu menyebut ‘Stop the Patronage, Stop the Rot', ‘As I
Believe Freedom of Expression through Art, Music, Culture and
Conscience...' dan ‘Rakyat Hakim Negara'.
Majlis Peguam berkata akibatnya ia menanggung kerugian dan kerosakan dan
memohon ganti rugi khas, ganti rugi am teruk dan teladan.
Dalam pembelaannya, datuk bandar Kuala Lumpur menafikan tindakan pegawai-pegawainya menyalahi undang-undang.
Beliau menegaskan mereka memasuki premis itu kerana majlis tersebut
gagal mendapatkan lesen untuk memasang sepanduk itu sebagaimana menurut
Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982.
Pada 26 Sept tahun lepas, mahkamah membuat penghakiman memihak kepada
Majlis Peguam, dan menganugerah ganti rugi khas RM320 dan ganti rugi am
RM12,000.
Ia memutuskan bahawa sepanduk mengenai hak asasi manusia itu tidak
termasuk dalam takrif 'iklan' yang memerlukan lesen dari DBKL, seperti
terpakai pada produk atau perkhidmatan komersil.
DBKL diwakili peguam B Thangaraj sementara majlis itu oleh peguam-peguam Ranjit Singh, Razlan Hadri Zulkifli dan Jamie Wong. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan