SIREH Impian Sdn Bhd (Sireh Impian), pengeluar minuman kesihatan jenama Strike Mangosteen berasaskan manggis dan delima menyasarkan untuk mengeksport produk mereka ke luar negara selepas menembusi pasaran dalam negara sepenuhnya.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Sireh Impian Mohammad Shahril Abdul Rahim berkata, sasaran eksport ke luar negara didorong oleh beberapa pertanyaan dari negara luar yang berminat ketika Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas 2014) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Produk kami adalah produk sedia eksport dan boleh dieksport pada bila-bila masa. Kami masih dalam perbincangan dan mencari negara luar yang berminat pasarkan produk kami di negara mereka.
“Melalui Mihas 2014 kami menemui beberapa usahawan luar negara seperti dari China, Hong Kong, Australia, Singapura dan Brunei yang menunjukkan minat dalam produk minuman kami,” katanya.
Menurutnya, produk itu sudah setahun berada dalam pasaran Malaysia melalui ejen dari Kedah dan Kuala Lumpur.
“Sebelum kami mengeksport produk ini ke luar negara kami akan beri tumpuan untuk memasuki pasar raya dalam negara serta menambah pengedar di seluruh negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan