GEORGE TOWN: Dasar anti-rasuah yang diamalkan
kerajaan Pulau Pinang menjadikan negeri itu sebagai antara destinasi
pelaburan utama di Malaysia.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, antara tekad utama
Pakatan ketika mengambil-alih pentadbiran negeri pada tahun 2008 adalah
membasmi rasuah yang merupakan musuh utama negara.
“Kerajaan negeri bertekad untuk membasmi ‘musuh awam nombor
satu’. Selepas mengambil alih pentadbiran, kami memutuskan untuk
menjalankan pemerolehan kerajaan melalui tender terbuka bagi
menyingkirkan rasuah.
“Ia juga sebagai usaha kami meningkatkan keyakinan
perniagaan di Pulau Pinang. Kami ingin masyarakat perniagaan tahu bahawa
di sini, mereka beroperasi dalam suasana di mana projek diperolehi
melalui idea terbaik dan bidaan yang berdaya saing,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan tengahari Economist Corporate Network di sini, semalam.
Katanya lagi, usaha itu ternyata berjaya apabila negeri itu menunjukkan peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI).
Ketika sesi Parlimen Oktober tahun lalu, Timbalan Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri menyebut bahawa
Pulau Pinang mencatatkan FDI tertinggi untuk empat tahun terakhir,
dengan jumlah pelaburan RM19.7 billion bagi tempoh 2010 hingga Oktober
2013.
Menurut Guan Eng lagi, selain membasmi rasuah, Pulau Pinang
juga berjaya menarik pelaburan dengan mengamalkan dasar tiada
campurtangan daripada kerajaan dalam urusan perniagaan selain untuk
menyediakan persekitaran perniagaan yang nyaman menerusi birokrasi yang
cekap dan prasarana yang baik.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP itu menyeru kerajaan
Persekutuan agar mencontohi Pulau Pinang dalam membangunkan ekonomi
negara, terutama untuk mengatasi masalah perangkap pendapatan sederhana
(middle income trap).
“Malaysia tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana.
Negara tidak dapat bersaing dari segi teknologi dengan negara seperti
Korea, dan dari segi kos tenaga kerja dengan negara seperti Vietnam.
“Maka, Malaysia, seperti Pulau Pinang, perlu suasana yang
menyamankan untuk bakat, idea, modal dan perniagaan berkumpul dan
melakukan inovasi untuk keluar daripada perangkap itu.
“Dasar kerajaan Pulau Pinang membebaskan suasana perniagaan
dan menjadikannya berkembang.
Maka dunia perniagaan harus
mengalu-alukan pelaksanaan dasar-dasar sebegini di peringkat negara
kerana faedahnya pasti akan berlipat-ganda,” katanya lagi.
Tinjauan Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2012 [1]
mendapati 75 peratus tenaga kerja mendapat gaji di bawah julat
pendapatan sederhana (RM27,271 setahun) iaitu purata RM1,881 sebulan,
dengan purata kenaikan hanya 2.4 peratus setahun. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan