pemilihan PKR


KUALA TERENGGANU - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendahului pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR apabila dipilih oleh Cabang Marang dan Hulu Terengganu dalam pemilihan PKR Cabang yang dibuat pada Sabtu lalu.

Namun, penyandang Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menjadi pilihan ahli PKR Cabang Kuala Terengganu.

Menurut sumber dalaman PKR, bagi jawatan naib presiden, ahli Cabang Kuala Terengganu telah memilih Barubian, Lee Chin Cheh, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Dr Xavier Jayakumar.

“Ahli di Hulu Terengganu telah memilih Shamsul Iskandar Mohd Akin, Mustafa Kamil Ayub, Mohd Yahya Sahri dan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan naib presiden.

"Di Marang, ahli telah memilih Mustafa Kamil Ayub, Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Mohd Yahya Sahri," katanya.

Kata sumber, apa yang menarik pemilihan kali ini ialah trend penolakan ahli terhadap Mohd Rafizi Ramli bagi jawatan naib presiden di pemilihan cabang setakat ini, biarpun beliau kini penyandang bagi Ketua Cabang Kemaman.

Manakala bagi pemilihan di Cabang Kuala Terengganu, Azan Ismail yang juga Adun Bandar berjaya mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cabang, menewaskan pencabarnya, Md Shuhaimi Ismail.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang pula, dimenangi Goh Peng Chai yang menewaskan lawannya, Tengku Roslan Tengku Othman.

Sementara itu difahamkan, pemilihan di Kemaman dan Dungun terpaksa ditunda ke tarikh baru bagi pengundian semula dan dijangka dibuat pada 10 Mei depan begitu juga dengan pemilihan di Cabang Besut setelah terdapat bantahan pada pemilihan Sabtu lalu.

Dua lagi cabang yang masih belum membuat pemilihan iaitu di Kuala Nerus dan Setiu akan dibuat pada 10 Mei depan berikutan faktor pertikaian tempat mengundi oleh calon yang bertanding.