Hishammuddin Tun Hussein  
Hishammuddin


KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mengenai serpihan yang mungkin mempunyai kaitan dengan MH370 pada bahagian timur laut Lautan Hindi iaitu di Teluk Bengal.

Menurutnya, semua pihak termasuk pasukan siasatan sedang bekerjasama untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diperoleh.

"Kami sedang cuba menganalisis maklumat berdasarkan laporan yang telah diterima, sebarang informasi terkini yang diperoleh akan dimaklumkan kepada semua pihak secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan perlantikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Kok Soo Chon untuk mengetuai Pasukan Penyiasat Antarabangsa MH370.

"Saya mahu tekankan di sini bahawa tugas pasukan penyiasat adalah untuk menyiasat, menilai dan memastikan kesilapan sama yang berlaku pada pesawat tersebut tidak akan berlaku kepada mana-mana kapal terbang pada masa akan datang," katanya lagi.

Menurutnya lagi, perbincangan antara para pemimpin bagi negara yang terlibat dalam operasi mencari akan membincangkan misi pencarian MH370 yang akan memasuki fasa baru menjelang minggu hadapan.

"Kami akan membincangkan soal kos bagi seluruh operasi carian dan penambahan aset untuk misi carian di kawasan laut dalam.

"Selain itu, kami juga akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyalurkan maklumat yang lebih pantas dan tepat kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat terbabit," jelasnya.