Isnin, 28 April 2014

PAC persoal pembinaan sambungan 1km ERL bernilai RM100 juta di klia2

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

 
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan rasional penumpang perlu membayar caj bagi perkhidmatan keretapi ERL dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke klia2 sedangkan Putrajaya sudah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi pembinaan tersebut.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata, penumpang seharusnya tidak dikenakan caj memandangkan perkhidmatan ERL itu dibina sekali dengan klia2.

"PAC bertanyakan mengenai ERL yang dibuat menyambungkan klia dengan klia2, walaupun jarak 1km, kosnya RM100 juta dan masih dikenakan bayaran kepada penumpang.

"Kita pun nak tanya rasionalnya, berikan kos penyambungan, sepatutnya diambil kira dalam satu projek di kawasan yang sama," kata Nur Jazlan pada sidang media selepas prosiding bersama syarikat penerbangan tambang murah AirAsia di Parlimen hari ini.

Dalam pertemuan itu, Nur Jazlan berkata, AirAsia juga meminta agar Putrajaya mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Penerbangan bagi membolehkan mereka meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap industri penerbangan negara.

"AirAsia minta kalau boleh kerajaan fikirkan industri penerbangan negara lebih bebas dengan penubuhan suruhanjaya penerbangan negara untuk mendengar pendapat pelbagai pihak sebelum kerajaan buat keputusan berdasarkan dasar penerbangan negara," kata Nur Jazlan kepada pemberita.

Dalam prosiding itu, Nur Jazlan berkata, pihaknya turut mendapat penjelasan AirAsia mengenai dasar penerbangan negara dan pemonopolian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam industri penerbangan negara.

"PAC pun nak tahu, kerajaan mengawal Malaysia Airlines (MAS), MAHB secara monopoli dan pada waktu sama kenapa MAS rugi manakala AirAsia berkembang terus untung," kata Nur Jazlan.

AirAsia dipanggil memberi keterangan kepada PAC bagi mendapatkan penerangan lanjut berhubung klia2 ekoran beberapa isu yang timbul membabitkan lapangan terbang tersebut.

Sebelum AirAsia, PAC memanggil Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) bagi mendapatkan penjelasan pihak berkepentingan berkenaan isu melibatkan klia2.

"Yang pentingnya, kita nak dapatkan penjelasan berkenaan klia2 untuk beri peluang kepada mereka yang terlibat supaya kita dapat membuat keputusan yang adil," kata Nur Jazlan.

Tiada ulasan: