Kelihatan kapal terbang hampir terbelah dua selepas terjatuh. - Foto ihsan pembaca Sinar Harian oleh KOPERAL RADUAN AYOB
KOTA BHARU - Sebuah pesawat ringan Jenis Piper Warrior II milik syarikat latihan penerbangan Asia Pasific Flight Training (APFT) terhempas di sebuah kawasan tanah lapang di Taman Kurnia Jaya di sini, hari ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Kelantan Mohd Nurizwan Basri berkata pesawat yang dipandu juruterbang pelatih Shankar a/l Muthu, 20, itu dilaporkan terhempas kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Katanya bagaimanapun juruterbang itu hanya mengalami kecederaan bahagian kaki dan kepala dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.47 tengah hari dan jentera bomba bersama-sama lima anggota bergegas tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
"Mangsa yang juga pelatih APFT itu berjaya dikeluarkan dan dihantar ke HRPZII untuk pemeriksaan dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata bomba sedang mengeluarkan baki minyak pesawat berkenaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Mohd Nurizwan berkata punca kejadian masih dalam siasatan. Sementara itu, seorang saksi yang juga penduduk berhampiran Mohd Zairie Ismail, 43, berkata ketika kejadian beliau sedang mengemas rumah sebelum melihat sendiri kapal terbang itu terhempas kira-kira 100 meter dari rumahnya.
"Saya dengar bunyi pelik sebelum melihat sebuah kapal terbang melintas di atas bumbung saya, kemudian kapal terbang itu berpusing dahulu sebelum ia terhempas di kawasan lapang di hadapan rumah saya.
"Saya kemudiannya pergi menyelamatkan mangsa yang tersepit sebelum orang ramai datang untuk membantu dan memberitahu pihak bomba," katanya.
Tinjauan mendapati terdapat kesan darah di bahagian tempat duduk juruterbang itu manakala anggota bomba bersama-sama pegawai APFT sibuk mengalih bangkai pesawat itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan