PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan PR akan mengadakan satu perbincangan khas sebelum sesuatu ketetapan berhubung usaha Pas membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dapat dibuat di Parlimen.
Menurutnya, perbincangan merupakan ruang terbaik yang perlu digunakan untuk memperhalusi sebarang masalah atau kekangan khususnya berkenaan hukum hudud.
“Saya tidak fikir sesiapa pun patut menolak atau memperkecil langkah Pas berkaitan hudud. Biarkan mereka terangkan dahulu. Perbezaan pendapat sepatut dirai dan dibincangkan bersama,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Anwar berkata, Pas sudah mula menjelaskan langkah melaksanakan hukum hudud kepada PKR dan DAP tetapi perkara itu belum dibincangkan secara rasmi di peringkat kepimpinan.
“Ianya akan dibuat dalam masa terdekat dan saya rasa ianya akan berjalan lancar,” katanya.
Selain itu, Anwar turut khuatir kelemahan sistem kehakiman di negara ini khususnya dari sudut perundangan bakal menyukarkan implementasi atau pelaksanaan hudud di mahkamah.
“Hudud boleh dilaksanakan sekiranya sistem kehakiman itu bebas dan adakah hakim yang bakal melaksanakan hukuman itu juga telus?,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengkritik alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Amerika, Barack Obama berkenaan ‘gangguan’ yang dihadapi terutama membabitkan hal-hal pentadbiran.
“Ini alasan yang tidak bijak dan sama sejak dahulu lagi,” katanya.
Beliau berkata, alasan yang diberikan Najib itu juga hanyalah untuk menutup kelemahan selain cuba menuding jari menyalahkan pihak lain.
Katanya, pandangan itu turut disampaikan beliau kepada Penasihat Keselamatan Amerika, Susan Rice dalam pertemuannya dengan pemimpin PR, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan