Rabu, 30 April 2014

Hudud: DAP tidak bersetuju, tetapi faham mengenainya, kata TMB Kelantan

THE MALAYSIAN INSIDER


Kerajaan PAS Kelantan sedia memberi penerangan mengenai hudud kepada masyarakat bukan Islam termasuk wakil daripada MCA, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah. Gambar fail.Kerajaan PAS Kelantan sedia memberi penerangan mengenai hudud kepada masyarakat bukan Islam termasuk wakil daripada MCA, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah. Gambar fail.




























DAP pada dasarnya tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri Kelantan mahu membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu namun kini mereka faham mengenainya, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.

Amar berkata demikian selepas kerajaan negeri Kelantan mengadakan pertemuan bersama DAP dan PKR bagi memberi penjelasan khususnya tentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan semalam, lapor Harakahdaily.

"Daripada apa yang kita jelaskan pada pandangan sayalah, positif. Mereka faham apa yang kerajaan negeri Kelantan laksanakan walaupun pada dasarnya mereka tidak setuju, itu kita hormati.

"Sekurang-kurangnya mereka memahami pendirian dan keputusan kita," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan itu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut semalam, lapor Harakahdaily.

Katanya, memberi pandangan yang berbeza adalah perkara biasa, yang penting mereka menghormati pendirian masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan negeri Kelantan bersedia untuk memberi penjelasan lanjut mengenai enakmen itu bukan hanya kepada Pakatan Rakyat bahkan wakil daripada BN seperti MCA.

"Kami di Kelantan bergantung kepada keperluan ada pihak yang mahukan penjelasan lebih lanjut kita bersedia. Kalau MCA hendak jumpa pun boleh.

"Siapa sahaja, termasuk bukan Islam. Di mana sekali pun insya-Allah kita akan datang kepada mereka jelaskan supaya mereka boleh memahami. Soal setuju atau tidak setuju itu hak masing-masing, kita tidak akan paksa," katanya.

Turut bersama dalam perbicangan itu ialah dua Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah dan Tian Chua, wakil DAP iaitu Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Ngeh Khoo Ham; Ahli Parlimen Kluang, Liew Ching Tong dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Liew berkata, pihaknya memberikan pandangan dalam perbincangan itu isu hudud adalah bukan agenda bersama dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, walaupun perbezaan pandangan, rakan dalam Pakatan Rakyat akan mencari titik persamaan dan cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

"Kita masih dalam perbincangan. Kita harap semua boleh memahami isu dan risiko politik dalam isu ini. Kita terangkan pendirian kita, dan kongsikan pandangan masing-masing," katanya, lapor Harakahdaily.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub sebelum ini berkata, Kelantan akan membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu.

Ketika disokong oleh PAS Pusat, DAP membantahnya dengan berkata ia bukan agenda bersama Pakatan Rakyat dan meminta PAS keluar Pakatan jika mahu meneruskannya.

Umno juga dilihat menyokong usaha itu namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih bersikap tunggu dan lihat mengenainya.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, berkata sikap Umno itu tidak jelas dan PAS tidak perlu bersungguh-sungguh mengenainya sehinggalah Najib menyatakan sikap tegas akan menyokong usul persendirian itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula mencadangkan agar Umno yang membawa usul itu jika mereka benar-benar menyokong pelaksanaannya

Tiada ulasan: