Isnin, 28 April 2014

Majlis agama Pahang calar imej sederhana Malaysia


teresa kok



KUALA LUMPUR Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob digesa supaya segera campur tangan terhadap tindakan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang mengharamkan penggunaan bible di hotel seluruh negeri itu.

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berkata, tindakan MUIP bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah ternyata telah melanggar jaminan Perlembagaan dalam kebebasan beragama.

“Bible itu diletakkan di bilik-bilik hotel dengan tulisan perkataan ‘untuk bukan Islam sahaja’, oleh itu adalah salah bagi MUIP mengandaikan bahawa ia sebagai tindakan untuk menyebar kepercayaan agama lain kepada orang Islam.

“Imej Malaysia di mata antarabangsa sebuah negara yang sederhana telah terjejas oleh isu kata nama Allah baru-baru ini dan kini ditambah dengan tindakan melampau MUIP.

“Perkara ini sekali lagi meletakkan negara kita di pandang salah oleh media antarabangsa,” tegasnya yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dalam kenyataan.

Timbalan Pengarah MUIP, Datuk Seri Wan Wahid Wan Abdul Hasaan dua hari lalu menyatakan bahawa surat pengharaman mengenai perkara itu telah dihantar kepada 147 hotel di seluruh Pahang sejak 6 Mac lalu dan sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, surat pengharaman itu dikeluarkan di bawah Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1989, selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini pada 12 April lalu juga telah bertegas bahawa beliau tidak akan menerima tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan sosial negara.

Katanya, kerajaan akan terus mempertahankan hak-hak Perlembagaan semua rakyat Malaysia termasuk kebebasan beragama, kepelbagaiaan budaya, menghormati sambutan kebesaran semua agama dan penganutnya.

“Ironinya di Pahang, MUIP telah memulakan satu tindakan melampau dengan melarang pemilik hotel dari meletakkan bible di dalam bilik-bilik,” kesalnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: