Sabtu, 26 April 2014

Virus MERS-CoV disyaki berpunca daripada unta, kata Dr Subramaniam

THE MALAYSIAN INSIDER


Penyebaran wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV), jangkitan respiratori yang disebabkan oleh virus korona, disyaki berpunca daripada unta di Arab Saudi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (gambar), berkata pemeriksaan terhadap darah unta di negara itu mendapati tahap antibodi haiwan berkenaan sama dengan virus itu.

"Ada kemungkinan virus itu ada pada unta. Mungkin daripada situ ia menular dan merebak kepada manusia. Ia (virus) bukan boleh merebak dengan mudah, perlu berada dekat atau bersentuhan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Masyarakat MySihat India 1Malaysia di Butterworth, hari ini.

Semalam, Dr Subramaniam berkata, tiada kes jangkitan terbaharu MERS-CoV di negara ini, sejak kes kematian seorang lelaki akibat pneumonia teruk susulan jangkitan virus itu pada 13 April lalu.

Lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail selepas mengadu demam, batuk dan kesukaran bernafas, kira-kira 10 hari selepas kembali daripada mengerjakan umrah pada 29 Mac. Kes itu merupakan yang pertama dilapor di rantau ini.

Dr Subramaniam berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai langkah pencegahan selain menasihati jemaah yang ingin mengerjakan umrah berhubung risiko virus berkenaan.

Beliau juga menasihatkan para jemaah supaya mengamalkan langkah keselamatan seperti kerap mencuci tangan, membawa sanitiser, mandi dengan lebih kerap dan menjauhkan diri daripada orang sakit.

Ditanya sama ada Kementerian Kesihatan akan mengenakan pelalian tambahan kepada jemaah yang akan mengerjakan ibadah Haji pada Oktober ini, Dr Subramaniam berkata: "Malaysia sudah mempunyai sistem perubatan terbaik untuk jemaah haji. Di Arab Saudi pun kita mempunyai kemudahan rawatan dan doktor pun ada di sana.

"Kita kena lihat sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan kemudahan itu. Kita kena bincang dengan pihak Tabung Haji yang menguruskan perkara tersebut,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: