KUALA LUMPUR: Malaysia akan berbincang dengan Australia mengenai kos
yang melibatkan penambahan aset dalam operasi mencari pesawat MH370 di
Lautan Hindi yang kini memasuki fasa kedua.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berkata, persefahaman perlu diwujudkan dengan Australia mengenai
pembiayaan aset berkenaan.
"Kita sedang menuju kepada fasa kedua pencarian. Kita perlu adil dengan
Australia kerana kita masih lagi belum berbincang mengenai kewangan.
"Kini kita akan meneruskan operasi mencari ke dalam lautan dan kita
perlu persefahaman dengan Australia dari segi pembiayaan aset-aset,"
jelas beliau selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari
Jepun, Itsunori Onodera di pejabat beliau di Kementerian Pertahanan.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, isu berkaitan
pembiayaan itu akan dibincangkan dengan jawatankuasa teknikal berkaitan
MH370 hari ini.
"Perdana Menteri Australia, Tony Abbott semalam berkata mungkin visual
pencarian daripada udara dan lautan dalam tidak sesuai kerana kekangan
negara dan syarikat yang mempunyai peralatan canggih yang diperlukan.
"Inilah apa yang dilalui oleh Perancis semasa mencari pesawat Air
France yang hilang lalu. Bila kita telah tahu aset yang diperlukan maka
kita akan berapa kos yang diperlukan," jelasnya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, dakwaan syarikat penerokaan
Australia yang kononnya mengesan bangkai sebuah pesawat di Teluk Bengala
iaitu 5,000km dari lokasi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan
Hindi akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal petang
ini.
"Banyak sangat spekulasi di luar sana. Hendak layan semua adalah
mustahil. Tapi percayalah misi mencari akan diteruskan dan kita akan
umumkan apabila pengesahan dilakukan oleh pakar," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan