SAYA kira pembaca budiman sudah selalu ke masjid dan surau di kawasan sendiri, tetapi apabila ada peluang, kunjungilah masjid ketika dalam perjalanan balik kampung atau di tempat-tempat baru bagi anda.
Di samping mengimarahkan masjid dan menikmati ganjaran beriktikaf dan pahala berganda dengan menunaikan solat berjemaah, anda juga akan menyaksikan banyak perkara berbeza dan menarik.
Anda akan dapati hampir setiap masjid dan surau yang ada di seluruh pelosok negara ini mempunyai keistimewaan masing-masing.
Di zaman digital ini, banyak masjid sudah menggunakan skrin raksasa untuk memaparkan isi khutbah Jumaat ketika khatib menyampaikannya atau ketika ceramah disampaikan.
Kalau dengan cara itu pun masih ada jemaah yang boleh tersengguk-sengguk mengantuk, tak tahulah apa nak dikatakan lagi!
Di banyak masjid dan surau, di samping mempamerkan waktu solat, kemudahan digital digunakan untuk mengiklankan program yang dianjurkan seperti sesi pengajian dan kuliah, juga untuk memberi peringatan, nasihat dan amaran.
Banyak yang mengingatkan jemaah supaya tidak bercakap perkara yang sia-sia dalam masjid, tidak tidur di ruang solat atau menasihatkan umat Islam membaca doa masuk dan keluar masjid serta doa iktikaf, antaranya.
Sejauh mana kesan daripada peringatan yang diberi menggunakan kemudahan digital itu, wallahualam. Yang penting ada usaha ke arah kebaikan.
Ada pentadbir masjid yang agak ‘brutal’, yang memilih untuk memaparkan ayat-ayat amaran sebagai peringatan kepada umum.
Banyak masjid mempamerkan ayat seperti ‘Solatlah di belakang imam sebelum imam solat di belakang kamu’, ‘Bacalah al-Quran sebelum al-Quran dibaca di hadapan kamu’ atau ‘Pergilah ke masjid sebelum kamu dibawa ke masjid’.
Ayat begini tidak syak lagi merupakan peringatan supaya kita sentiasa ingat kepada mati, menunaikan perintah ALLAH dan meninggalkan laranganNya.
Masalahnya yang membaca peringatan yang diulang-ulang di skrin setiap masa itu ialah mereka yang kerap ke masjid.
Bagi yang tidak ke masjid, siapa yang akan mengingatkan mereka tentang perkara seperti itu?
Saya kira tentulah yang selalu ke masjid perlu mengambil tanggungjawab itu. Jika tidak, mesej itu mati di situ sahaja.
Sebenarnya, pergi ke masjid boleh dapat banyak cerita dan berita baru lagi menarik.
Ramai penceramah, apa lagi yang celek teknologi maklumat, bukan calang-calang.
Mereka pun ikuti perkembangan melalui internet dan mampu menyampaikan kepada anda apa yang sedang tersebar dan menjadi polemik dalam laman sosial.
Di sebuah masjid yang saya pergi baru-baru ini, umpamanya, penceramahnya menyentuh tiga isu kontroversi.
Pertama tentang dakwaan tidak semestinya wanita tidak bertudung masuk neraka; kedua mengenai luahan orang yang sanggup ke neraka dalam mempertahankan perlakuannya dan ketiga tentang persoalan terhadap penggunaan hadis oleh ustaz.
Penceramah yang memiliki PhD dalam bidang agama itu jelas tidak senang dengan kenyataan-kenyataan seperti itu turut menyentuh tentang pengertian syirik dan murtad dalam penjelasannya ringkasnya itu.
Di akhir penjelasannya, beliau berkata, kalau ALLAH mahu memasukkan orang yang melanggar perintahNya ke syurga dan memasukkan orang yang patuh kepada perintahNya ke neraka, tiada siapa boleh menghalang, kerana ALLAH berhak lakukan apa sahaja yang ALLAH mahu.
Tetapi apakah ALLAH akan melakukan demikian?
Beliau membaca Surah al-Baqarah ayat 286 yang sebahagiannya bermaksud: “...Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”
Beliau juga merujuk kepada Surah Ali Imran, ayat 9 yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan himpunkan sekalian manusia untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya ALLAH tidak memungkiri janjiNya. - Surah Ali’Imran : 9.
Apakah ALLAH akan lakukan apa yang bertentangan dengan apa yang ALLAH sendiri janjikan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan