Selasa, 29 April 2014

'J'kuasa teknikal hudud peringkat pusat tak perlu'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Dewan Pemuda Pemuda (DPP) PAS Kelantan menganggap tiada keperluan menerima cadangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin menubuhkan jawatankuasa teknikal peringkat pusat bagi membincangkan tentang hudud sebelum dibawa ke Parlimen.

Sebaliknya, Ketua Pemuda Ahmad Fadhli Shaari berkata jawatankuasa itu telahpun wujud di peringkat negeri dan dianggotai wakil agensi kerajaan persekutuan yang terlibat dalam pelaksanaan hukum itu.

"Justeru, untuk mendapatkan gambaran jelas tentang undang-undang ini, cukuplah sekiranya wakil kerajaan Kelantan dipanggil untuk memberikan taklimat kepada mana-mana pihak di peringkat kerajaan Persekutuan dalam konteks hubungan kerajaan dengan kerajaan," katanya.

Dalam kenyataannya, beliau berkata cadangan yang PAS bawa ke PAS ke Parlimen berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menyekat had hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Syariah negeri dan bukan undang-undang hudud yang diluluskan DUN Kelantan pada 1993.

Kelmarin Muhyiddin berkata Umno ingin bekerjasama dengan PAS bagaimana untuk memberi pemahaman kepada semua pihak tentang hudud dan Umno bercadang mewujudkan sebuah jawatankuasa teknikal mengenai perkara itu di peringkat kebangsaan.

Ahmad Fadhli juga menyarankan kerajaan persekutuan menumpukan penerangan tentang perundangan Islam kepada semua agensi termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Katanya lagi, penerangan itu juga harus diberikan kepada negeri yang ditadbir BN agar melaksanakan undang-undang yang sama termasuk di Terengganu setelah diluluskannya lebih 10 tahun lalu.

"Kegagalan untuk menggerakkan langkah untuk melaksanakan undang-undang ini di negeri-negeri yang lain dan hanya memberikan penumpuan kepada Kelantan hanya akan memberikan persepsi bahawa Umno hanya bermain politik dalam isu ini," katanya.
 

Tiada ulasan: