Enjin terbakar, pesawat patah balik ke Perth Sebuah pesawat penumpang terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Perth pagi tadi selepas salah satu enjin terbakar sejurus berlepas. - Foto ABC News


PERTH - AUSTRALIA. Sebuah pesawat penumpang dilaporkan telah berpatah balik di Lapangan Terbang Perth (Australia) pagi tadi dan telah melakukan pendaratan kecemasan selepas salah satu enjinnya terbakar sebaik sahaja berlepas.

Menurut  seorang penumpang pesawat Cobham Aviation memaklumkan, mereka (penumpang) melihat api marak dan asap dari enjin yang terbakar sebaik pesawat berlepas jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Sementara Cobham Aviation Services dalam satu kenyataannya berkata, pesawat BAE 146 empat enjin itu kembali ke Lapangan Terbang Perth jam 10.53 pagi.

“Kejadian berlaku ketika pesawat sedang naik ke ruang udara apabila enjin nombor duanya tiba-tiba terbakar,” menurut kenyataan tersebut.

Ketika kejadian pesawat membawa 92 penumpang, dua juruterbang dan tiga anak kapal dan semua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Manakala menurut penumpang pesawat, Jason Grimmett, kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas pesawat berlepas.

"Saya duduk di sebelah kanan enjin dan tiba-tiba kepulan asap keluar dari enjin.

"Minyak bertaburan di udara sebelum api menyambar dan keadaan panik ketika itu namun juruterbang bertindak pantas untuk menutup saluran minyak," katanya menurut laporan ABC News.

Pesawat bagaimanapun berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Barrow Island.