Isnin, 28 April 2014

Pembangkang pilih kasih, tidak mahu adakan perhimpunan di negeri Pakatan, kata Zahid


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi bercakap kepada hadirin semasa bengkel Respons Keadilan Jenayah untuk Pemerdagangan Manusia (Criminal Justice Responses To Trafficking in Persons) Asean di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 28 April, 2014.Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi bercakap kepada hadirin semasa bengkel Respons Keadilan Jenayah untuk Pemerdagangan Manusia (Criminal Justice Responses To Trafficking in Persons) Asean di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari,



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyelar kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) kerana mahu mengadakan perhimpunan, tetapi enggan menggazetkan kawasan sendiri sebagai lokasinya.

Menteri Dalam Negeri itu berkata kerajaan negeri PR mengamalkan 'double standard' selepas menolak pelawaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggazetkan lokasi perhimpunan di negeri pimpinan mereka.

“Melalui Akta Perhimpunan Aman (PAA) ini mengizinkan beberapa kawasan yang digazetkan untuk dijadikan tempat perhimpunan.

“Yang menghairankan negeri yang diperintah mereka, apabila KDN meminta kawasan tertentu untuk digazetkan mereka sendiri menolak kawasan itu untuk digazetkan. Ertinya mereka pilih kasih dalam perkara ini,” katanya pada sidang media Bengkel Keadilan Jenayah Penyeludupan Manusia Asean kali ke-4 di Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin PR akan mengadakan perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini, namun mendapat bantahan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jurucakap jawatankuasa protes 1 Mei, S Arutchelvan berkata perhimpunan itu tetap akan diadakan di Dataran Merdeka meskipun ia kini ditutup untuk tujuan naik taraf.

Katanya, biarpun wujud kebimbangan pihak tertentu mengenai pembinaan yang sedang berjalan, namun perhimpunan itu diadakan di jalan bersebelahan padang.

"Kami fikir Dataran Merdeka adalah simbol kepada gerakan rakyat," katanya.

Zahid berkata contoh terdekat menggambarkan keangkuhan kerajaan negeri PR adalah enggan menggazetkan Stadium Shah Alam sebagai lokasi perhimpunan dalam PAA.

Katanya, ahli Parlimen PR sering kali dilihat gah berucap di Dewan Rakyat, namun apa yang dikatakannya bercanggah apabila berada di luar Parlimen.

“Saya ambil contoh Stadium Shah Alam sepatutnya digazetkan sebagai tempat untuk berhimpun tetapi tidak dipersetujui kerajaan negeri.

"Sedangkan kerajaan negeri dikuasai pembangkang beria-ia mendesak perhimpunan ini diizinkan, tetapi apabila kita meletakkan salah satu premis mereka sebagai premis perhimpunan, mereka tidak izinkan," katanya.

Tiada ulasan: