Selasa, 29 April 2014

MH370: Jepun mohon sertai panel pakar - Hishammuddin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Japan telah memohon untuk menyertai panel pakar antarabangsa yang akan membuat penyelidikan berhubung insiden kehilangan MH370 Malaysia Airlines, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
 
Beliau berkata Jepun dialu-alukan untuk menyertainya kerana panel itu mengamalkan ketelusan dan mempunyai kredibiliti.
 
"Ada permintaan bahawa mereka (Jepun) diberi ruang dalam panel pakar yang akan membuat penyelidikan berhubung kait dengan MH370.
 
"Kami tiada masalah untuk mereka menyertai panel kerana seluruh dunia ingin tahu mengenai MH370 dan seperti saya sebutkan sebelumnya, mungkin apa yang kita tahu berhubung MH370 akan mengubah sejarah penerbangan," kata beliau kepada pemberita.
 
Sebelum itu, Hishammuddin menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Jepun Itsunori Onodera di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
 
Hishammuddin menegaskan bahawa Malaysia dan Jepun berminat untuk meneruskan usaha menangani isu seperti menjamin keamanan dan kestabilan di rantau ini, bantuan bencana, berkongsi maklumat bagi memerangi keganasan dan industri pertahanan.
 
Mengulas laporan bahawa Jepun menarik diri daripada operasi mencari pesawat yang hilang itu, Hishammuddin berkata: "Jauh sekali.. (tarik diri), Menteri Pertahanannya datang tadi untuk menyatakan bahawa apa lagi yang mereka boleh bantu.
 
"Ini menunjukkan bahawa komitmen mereka masih lagi kukuh," katanya.
 
Penerbangan MH370 bersama 239 orang dalam pesawat hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
 
Misi pencarian di bawah permukaan laut yang diketuai Australia kini dijalankan di perairan dekat Perth, Australia.
 
Ia merupakan pertemuan pertama Onodera, yang menjadi Menteri Pertahanan Jepun pada Disember 2012, dengan Hishammuddin.

Tiada ulasan: