Isnin, 28 April 2014

Kes peneroka Bera saman Felda ditangguh 30 April

KHAIRIL ABDUL RAHIM


TEMERLOH: Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini menangguhkan kes saman 533 peneroka Felda Gugusan Bera terhadap Felda, kepada 30 April ini.

Peguam peneroka, Mohamed Hanipa Maidin berkata, kes tersebut sepatutnya dimulakan hari ini selama tiga hari tetapi ditangguhkan berikutan pihak Felda mencadangkan mediasi ataupun selesai di luar mahkamah.

(Foto: Hanipa memberi taklimat kepada peneroka di luar Mahkamah Tinggi Temerloh.)

“Hakim (Datuk Ab Karim Abdul Rahman) juga tadi menimbulkan terlalu ramai memfailkan saman jadi akan mengambil masa terlalu lama jika dipanggil seorang demi seorang.

“Justeru beliau mencadangkan supaya peneroka-peneroka yang betul-betul menghantar secara terus kepada kilang Felda tanpa melalui peraih atau orang tengah, akan dipanggil dulu” katanya kepada media selepas kes disebut.

Katanya, dijangka enam peneroka akan dipanggil sebagai saksi Rabu ini.

Turut hadir, dua orang lagi peguam bagi pihak peneroka iaitu Nasar Mirbas Khan dan Diana serta sebahagian peneroka.

Pada 20 September 2012, seramai 533 peneroka dari 9 Tanah Rancangan Felda Gugusan Bera telah memfailkan writ tuntutan berkaitan kadar perahan gred (KPG) yang dibayar kepada peneroka dengan terdapat unsur penipuan kerana lebih rendah daripada gred sebenar di mahkamah ini.

Selain daripada itu peneroka juga menuntut wang isi rong sawit, tandan yang ditolak tetapi diproses, keladak minyak dan abu tandan sawit yang semuanya mempunyai nilai tetapi tidak dibayar atau dikembalikan oleh Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan.

Kesemua peneroka menuntut pihak defendan membayar ganti rugi hasil penjualan sawit mereka sejak tahun 1995, hari ini ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal.

Kes tersebut sepatutnya mulai dibicarakan pada 17 September tahun lalu ditangguhkan bagi memberi masa kepada plaintif mendapatkan rekod jualan sawit semua peneroka ke kilang-kilang Felda atau daripada pihak ketiga.

Kes tersebut kemudiannya dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk pengurusan kes.

Mengenai jumlah tuntutan, Hanipa berkata, bagi tahun 2008 sahaja, kerugian yang dialami peneroka kerana tidak dibayar hasil yang sepatutnya ialah RM19 juta dan tuntutan bermula sejak tahun 1995.
Dengan itu dijangka peneroka sepatutnya dibayar sekitar RM300 juta lagi.

Sebelum ini, peneroka-peneroka Felda Kemahang dan Sungai Koyan telahpun memenangi kes saman melibatkan isu yang sama.

Tiada ulasan: