Selasa, 29 April 2014

AMK sambut baik wakil Presiden AS bertemu pimpinan Pakatan Rakyat

KEADILAN DAILY

AMK 
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyambut baik pertemuan Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Duta Susan Rice dengan pimpinan Pakatan Rakyat.

AMK amat bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat yang telah disampaikan kepada Duta Susan Rice bahawa kerjasama antara negara Malaysia dan negara Amerika cukup penting dan ia mesti mencakupi lebih daripada persoalan hubungan dagang di mana aspek-aspek lain seperti keselamatan, tata kelola kerajaan yang baik, demokrasi dan hak asasi manusia mesti turut sama diberikan perhatian besar.

Pendirian ini jelas kerana pengabaian kepada aspek-aspek berkenaan bukan sahaja mengancam pertumbuhan kedua-dua buah negara, sebaliknya turut berpotensi besar mewujudkan sistem dan persekitaran yang subur untuk rasuah, penyelewengan, penindasan, kezaliman, keganasan dan kemusnahan. Kegagalan badan eksekutif mengiktiraf pihak pembangkang sebagai elemen semak dan imbang dalam badan legislatif telah memungkinkan banyak kelemahan dalam tata kelola kerajaan serta defisit demokrasi dan penafian hak asasi manusia.

Contoh-contoh yang dibawakan oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengenai ketempangan perjalanan pilihan raya seperti yang didokumentasi melalui kajian Universiti Harvard dan Universiti Sydney serta kelemahan amalan federalisme di Malaysia adalah antara bukti yang cukup untuk menguatkan kes bahawa kerangka kerjasama yang lebih menyeluruh perlu.

AMK ingin mengingatkan kerajaan Malaysia mengenai kenyataan Barack Obama semasa beliau di sini bahawa penghormatan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang, jaminan kebebasan bersuara dan berhimpun, penghormatan terhadap parti pembangkang serta manusia berbilang latar belakang agama, kaum dan sokongan politik akan menentukan sama ada masyarakat kita akan berjaya di abad ke-21 ini.

Selaras dengan itu, AMK menggesa:

1 – Kerajaan menjamin kebebasan asasi manusia sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia;

2 – Berunding dengan parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan dalam pelbagai isu teras kenegaraan seperti perpaduan kaum dan agama, jurang pembangunan bandar dan luar bandar, jurang ekonomi antara yang miskin dan maha kaya, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dan pelbagai lagi isu yang melibatkan kepentingan semua.

3 – Menghentikan fitnah dan menggugurkan pertuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekaligus mengambil langkah segera menyelamatkan institusi kehakiman dan undang-undang negara.

Shamsul Iskandar Md Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bukit Katil

Tiada ulasan: