FAISAL TEHRANI
Minggu lalu aku dijemput untuk hadir satu perbincangan intelektual
secara tertutup anjuran sebuah kumpulan akademik yang teratas. Judul
perbincangan itu adalah “Melayu-Islam dan Ancaman Masa Kini”.
Ramai yang mengomel bercakap tentang ‘ancaman’ liberalisme, Syiah,
Ahmadiyyah, kumpulan universalis dalam kalangan pendukung hak asasi
manusia, gerakan Kristianisasi, sekularis ala mendiang Karpal Singh dan
bermacam-macam ‘ancaman’ yang belum pernah aku dengarkan.
Tanggapan awal aku adalah kumpulan ini adalah sejumlah ilmuwan yang
sedang takut dan lemah lutut oleh sekian ancaman oleh pelbagai kumpulan,
seolah-olah survival mereka dalam bahaya dan sangat berisiko.
Menurut mereka budaya Melayu Islam akan pupus dan terkorban jika mereka
tidak bertindak dan bangkit melawan. Mereka mahu menyelamatkan Melayu
yang sedang digigit dibaham pelbagai ancaman.
Salah seorang ilmuwan bertaraf profesor telah menyatakan dengan begitu
tegas sekali: “Kembalikan maruah Melayu. Kita mesti kembalikan maruah
Melayu.”
Salah seorang peserta kemudian, mungkin, untuk menarik lebih perhatian
dari orang lain, atau untuk mencipta kelainan; telah menyatakan
kebimbangan, dan mengungkit betapa industri bomoh adalah satu ancaman
kepada Melayu Islam memandangkan terdapatnya beberapa insiden oleh Raja
Bomoh yang didakwa menyebabkan Malaysia mendapat aib besar.
Menurut beliau lagi Melayu dianggap bangsa bodoh dan digelakkan seantero dunia lantaran tindak tanduk Raja Bomoh tersebut.
Walaupun aku tidak berminat dan tidak berniat untuk membela apatah lagi
mempertahankan seorang bomoh dengan dua biji kelapa, bubu lukah, air
dalam tempurung dan kayu sakti, aku akhirnya mengambil keputusan untuk
bercakap dari mendiamkan diri.
3 penghuni asal Nusantara
Aku menjelaskan kepada hadirin bahawa rantau Nusantara ketika zaman
prasejarah, menurut Profesor G De Sieveking terletak di bawah pengaruh
budaya Hoabinhian.
Demikian tuanya Nusantara dan orang Melayu, Hamka dalam Sejarah Umat Islam
ada memetik satu gagasan yang entah dari mana ia perolehi bahawa tanah
Melayu telah pun disebut-sebut dalam naskhah tua sebuah buku Yunani Periploustes Erythras Thalasses.
Khabarnya Tanah Melayu atau sekarang Semenanjung Malaysia dirujuk
sebagai Chryses yang bererti ‘negeri emas’. Kononnya Chryses juga
disebut Chersonesos. Nama negeri-negeri sekitarnya seperti Barousai yang
dikatakan bermakna Barus, Sabadebai yang ertinya Jawadwipa atau Andalas
turut disentuh sambil lalu.
Kata Hamka, buku Yunani itu bertarikh 70 Masehi. Ia menambah,
Protolomeus yang hidup pada sekitar tahun 150 Masehi juga telah
menjelaskan lagi hubungan itu, sehingga menjadi lebih nyata Chryses
adalah Tanah Melayu.
Buat seketika ahli kumpulan tersebut berasa seronok dan terjungkit
punggung kerana itu buktinya Melayu telah wujud ribuan tahun justeru itu
juga menjadi bukti Melayu adalah bangsa yang bukan calang-calang.
Dalam satu kesimpulan; bangsa yang superior dari bangsa-bangsa lain yang
ada di sini. Seolah-olah mengesahkan kepala otak mereka yang Melayu
adalah bangsa hos, dan bangsa-bangsa lain adalah bangsa penumpang.
Tatkala aku menatap muka-muka ‘Nazi Melayu’ yang berada di hadapanku itu
aku menyambung dengan memberitahu mereka bahawa penghuni Nusantara yang
asal dibahagi kepada tiga kelompok iaitu Negrito yang merupakan
penduduk pertama di rantau ini dan mempunyai banyak persamaan dengan
manusia di Afrika.
Kelompok kedua ialah Veddoid yang dikatakan mempunyai campuran bangsa
Kaukasian di mana menghasilkan pula suku kaum Senoi, Sakai dan Kubu
serta dapat dikenali berdasarkan ciri-ciri fizikal seperti rambut
kerinting, bulu badan tidak begitu tebal dan warna kulit sawo.
Sementara kelompok terakhir ialah Palae Mongoloid atau Melayu yang
dipecahkan pula kepada Melayu Proto yang mendiami kawasan pedalaman dan
Melayu Deutro.
Percampuran kebudayaan
Pada waktu aku menerangkan darihal itu, aku dapat melihat riak kehampaan
pada wajah-wajah ‘ilmuwan’ tersebut seolah-olah aku menyatakan bahawa
Melayu asal-usulnya adalah dari beruk dan monyet.
Profesor yang dengan gah menyatakan “kembalikan maruah Melayu” sebentar
tadi kelihatan mencebik sedikit dan menunjukkan gejala marah seperti
bibirnya terketar, jari tangannya diketuk-ketuk di permukaan meja,
cermin matanya digosok berkali-kali dengan hujung tudung dan ia
mendesah-desah seperti pelakon porno Itali mendapat kenikmatan
persetubuhan.
Ternyata bahasa badannya memberitahuku yang Melayu seharusnya bukan sakai dan jakun.
Tanpa berlengah aku memberitahu, dengan pandangan tepat ke matanya yang
‘keimanan’ Melayu paling awal dan dominan adalah dinamisme-animisme di
mana kepercayaan terhadap Tuhan Yang Esa sudah ada tetapi dalam bentuk
yang terlalu kabur.
Dalam masa yang sama dua bangsa manusia yang mempunyai peradaban tinggi
iaitu bangsa Cina di Timur dan India di Barat telah menjadikan rantau
ini kawasan lalu lintas perdagangannya dan ada yang menyinggah lantas
terjadi percampuran kebudayaan secara sinkretis iaitu pelbagai unsur
kebudayaan masuk bersatu sehingga sukar untuk dibezakan dan dipisahkan.
Aku menaburkan poin bahawa dinamisme-animisme bermakna kepercayaan
adanya tenaga tidak berperibadi dalam diri manusia, haiwan,
tumbuh-tumbuhan, dan benda-benda.
Beberapa kepercayaan lain penghuni Nusantara pada zaman lampau antara
lain adalah mempercayai jiwa dan roh dapat mempengaruhi kehidupan alam
manusia.
Animisme ini membibitkan pemujaan dan perhambaan diri kepada kuasa yang
berperibadi kerana orang berasa terikat kepada roh dan menyakini ia
boleh mendatangkan nasib buruk atau nasib baik.
Kekuasaan alam
Ketika itu juga Melayu mempercayai magis dan religis. Magis adalah
keyakinan adanya penguasaan terhadap tenaga ghaib dengan tindakan
tertentu.
Sementara religis pula ialah pemujaan dan perhambaan diri kepada kuasa
ghaib di mana manusia di sini mengharap perlindungan atau meminta
sesuatu hajat kepadanya.
Antara jenis magis ini yang masih diwarisi orang Melayu tanpa disedari
adalah magis analogis seperti membuka pintu ketika melahirkan anak
dengan tujuan kononnya untuk memudahkan kelahiran, juga magis imitatif
seperti menikam pisau pada jantung pisang untuk melukakan seseorang, ini
termasuk juga magis bahasa di mana contohnya pawang dalam perburuan
memanggil atau menyeru dengan pantun tertentu semangat atau jembalang
rusa.
Ilmuwan yang ada di hadapanku mulai berkerut. Peserta yang menyatakan
kekhuatirannya terhadap Raja Bomoh mulai menunjukkan wajah resah dan
geram tidak semena-mena. Giginya diketap-ketap.
Tanpa membiarkan mereka tertunggu aku melanjutkan yang kepercayaan
totemisme turut pernah menguasai kepercayaan awal penghuni rantau ini
(orang Melayu).
Totemisme bermaksud mempercayai diri mereka berasal dari sebangsa haiwan
atau tumbuh-tumbuhan atau antara mereka dan haiwan atau tumbuh-tumbuhan
itu ada pergantungan nasib.
Justeru mereka menghormati haiwan atau tumbuhan tersebut sambil
menganggapnya nenek moyang serta melarang ia dari dimakan melainkan pada
upacara tertentu sahaja.
Kepercayaan lain yang turut diterima termasuklah Javadwipa iaitu
pengagungan alam semesta seperti memuja dewi yang menguasai lautan Hindi
di sebelah selatan Jawa iaitu Nyi Roro Kidul.
Ulama terkenal Hamka juga pernah menyebut hal yang sama iaitu sebelum
kemunculan agama Buddha dan Hindu, rantau ini lebih mempercayai kepada
kekuasaan alam.
Masa berleter telah tamat
Justeru timbullah pemujaan terhadap matahari, hujan dan roh nenek moyang
sehingga menurutnya fahaman-fahaman dinamisme, animisme dan totemisme
ini telah bercampur baur.
Waktu itu, tegas Hamka lagi sudah pun ada konsep Hyang atau yang paling berkuasa.
Siri kepercayaan tidak teratur ini lebih terurus kemudiannya bila tiba
agama Hindu yang membahagikan semua tersebut kepada tiga jurusan iaitu
Krishna (yang mencipta), Vishnu (yang memelihara) dan Shiva (yang
merosak) sementara kedatangan agama Buddha pula menokok dari segi rohani
dan jasmani di mana ajaran mengenai buddhi dan prakharti diketengahkan.
Seingatku juga, Hamka turut mengemukakan pandangannya mengenai kewujudan agama Hindu di rantau ini.
Menurut beliau kerajaan Hindu tua telah dijangka wujud kira-kira tahun
400 Masehi iaitu dua abad sebelum lahirnya Nabi Muhammad SAW, kerajaan
tersebut bertapak di Kalimantan Timur iaitu di Kutai, di mana telah
ditemui batu tercatat mengenai raja bernama Mulawarman dan huruf pada
batu itu adalah bertulisan Pallawa yang menjelaskan ada hubungan
kerajaan ini dengan kerajaan di India Selatan.
Sebuah lagi kerajaan di Jawa Barat bernama Taruma Negara dalam abad
kelima (satu abad sebelum kelahiran nabi Muhammad SAW) pula dipimpin
raja Purnawarman.
Lain-lain kerajaan yang diketahui oleh ahli sejarah adalah Sriwijaya,
Sambojaya, Langkasuka dan Kataha, Sailendra, Kalinga dan Mataram, Kediri
dan Singasari, Majapahit, Darmashraya, Aditiawarman dan Pagarruyung.
Kerajaan Hindu paling akhir menurut Hamka ialah Majapahit di mana ketika
itu rajanya ialah Kartarajasa (1292-1309), di mana pada masa yang sama
kerajaan-kerajaan Islam sudah mula bertapak kukuh di Pasai.
Profesor yang ingin mengembalikan maruah Melayu Islam cuba mencelah
kerana barangkali resah mendengar kata Hindu dan Buddha berulang kali
sedangkan yang harus didiskusikan ialah Islam.
Aku menolak permintaannya untuk menyampuk, aku mengatakan yang tatkala
mereka berleter aku telah bersabar, dan kali ini giliranku tiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan