Selasa, 29 April 2014

Hudud: Umno patut singkir MCA dari BN

Umno sudah setuju bantu PAS laksanakan hukum hudud tapi MCA gesa pemimpin Islam menolaknya

Mahfuz Omar


PETALING JAYA: Tindakan MCA yang menggesa ahli parlimen Islam untuk tidak menyokong rang undang-undang persendirian oleh PAS pada sesi Dewan Rakyat akan datang bagi membenarkan Kelantan melaksanakan hudud adalah satu perbuatan yang tidak wajar dan ia merupakan satu penghinaan kepada ahli parlimen Islam.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar, MCA boleh  menolak dan tidak menyokong rang undang-undang persendirian itu, tetapi mereka tidak boleh untuk mengajak  ahli parlimen Islam yang lain untuk menolak hudud.

“MCA boleh  menolak hudud, tetapi tidak boleh untuk mengajak dan mengajar ahli parlimen Islam yang lain untuk menolak hudud dan tindakan MCA tersebut merupakan satu penghinaan kepada agama Islam,” katanya sewaktu dihubungi FMT melalui telefon.

Jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, tindakan MCA menunjukkan seolah-olah MCA adalah guru dan berniat untuk mengajar Umno terutama dalam hal yang berkaitan agama Islam terutamanya berkenaan hudud.

Katanya lagi, Umno melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Johari sendiri sudah bersetuju untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan agar dapat merealisasikan hukum hudud di Negeri Kelantan.

“Umno sudah menyatakan persetujuan mengenai pelaksanaan hudud, tetapi MCA pula tidak bersetuju.  Bagaimana perkara ini boleh berlaku dan apakah peranan Umno dalam soal ini?” Soal Pesuruhjaya PAS Kedah itu.

Dalam pada masa yang sama, Mahfuz turut mendesak agar Umno bertegas dan mengambil tindakan atas kenyataan MCA yang menggesa ahli parlimen Islam untuk tidak menyokong rang undang-undang persendirian oleh PAS pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

“Umno perlu keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya MCA terus bersikap demikian ataupun, Umno menyingkirkan MCA daripada BN.

“Saya dan seluruh rakyat Malaysia ternanti-nanti, apakah pendirian Umno untuk menangani sikap MCA ini,”

Sebelum ini, Pengerusi Biro Agama MCA dan ahli jawatankuasa kerja pusat Datuk Ti Lian Ker mendakwa rancangan PAS mengenai hudud adalah tidak benar pada Islam dan PAS cuba “mengelirukan” perkara itu.

Dalam kenyataan medianya, Ti mendakwa wujud kekeliruan yang berterusan dan perdebatan mengenai enakmen hudud PAS, maka undang-undang hudud versi PAS tidak boleh dikaitkan dengan hudud bawah undang-undang dan roh Islam yang sebenar.

Oleh itu, Ti merayu kepada ahli parlimen yang beragama Islam tidak berasa dipaksa untuk mengundi rang undang-undang persendirian PAS yang menurutnya satu muslihat politik dan tidak berdasarkan semangat dan niat Islam.

Beliau juga menggesa semua 38 ahli parlimen DAP dan 30 bagi PKR menghentikan rancangan PAS membentangkan cadangan rang undang-undang persendirian itu bagi mengakhiri penantian dua dekad sejak enakmen itu diluluskan di DUN Kelantan pada 1993.

Tiada ulasan: