Selasa, 29 April 2014

Bekas pemandu anak menteri dalam negeri ditahan kes curi

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Polis menahan bekas pemandu anak sulung Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi membantu siasatan berhubung kejadian kecurian di rumahnya di Country Heights, Kajang pada Sabtu lalu.
 
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di rumahnya di Seri Kembangan pada pukul 1 pagi Ahad.
 
Katanya, lelaki terbabit dipercayai menceroboh masuk ke rumah bekas majikannya, Nurul Hidayah menggunakan kunci rumah yang diberikan ketika masih berkhidmat.
 
"Siasatan awal bagaimanapun mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk dalam kejadian itu," katanya selepas melancarkan Program Keselamatan Jalan raya dan Pemanduan Berhemah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin.
 
Beliau berkata, lelaki itu ditahan reman sehingga esok.
 
Pada kejadian Sabtu lalus, lelaki itu dipercayai melarikan dua jam tangan serta wang tunai RM1,000.
 
Dalam kes berasingan, Abdul Rahim berkata seorang lelaki ditemui mati di kaki lima di Jalan Seapark, Petaling Jaya, awal pagi Isnin.
 
Beliau berkata mayat suspek yang berusia dalam lingkungan 40 tahun ditemui berdekatan sebuah farmasi di kawasan itu pada pukul 4.13 pagi.
 
Katanya lelaki terbabit dipercayai cuba memecah masuk sebuah pejabat guaman dengan menendang pintu premis sebelum cedera di paha kanan akibat tertusuk kaca dan mati di tempat kejadian disebabkan pendarahan teruk.
 
"Kejadian dilaporkan oleh seorang peguam yang kebetulan memasuki pejabat pada pagi itu," katanya.
 
Mayat suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
 
Polis menemui sebuah beg sandang dan beberapa peralatan pecah rumah dipercayai milik suspek di tempat kejadian.

Tiada ulasan: