Monday, December 2, 2013

Umno bentang usul UiTM sebagai Universiti Diraja

KEDADILAN DAILY


Cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu mahukan UiTM dinaungi Majlis Raja-Raja bagi memastikan peranan universiti itu tidak lagi dipertikai mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO).




KUALA LUMPUR:Pengisytiharan Universiti Teknologi Mara dibentang dan dibahas pada Perhimpunan Agung Umno 2013.

Cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu mahukan UiTM dinaungi Majlis Raja-Raja bagi memastikan peranan universiti itu tidak lagi dipertikai mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Presiden GPMS Ezaruddin Abd Rahman berkata apabila UiTM diletakkan di bawah satu bidang kuasa yang kukuh, usaha memperkasa Bumiputera dalam bidang pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana Umno sebagai parti tonggak orang Melayu perlu memenuhi amanat untuk meningkatkan tahap pendidikan bangsa Melayu,” katanya kepada Bernama.

GPMS merupakan antara NGO, golongan profesional dan pihak berkepentingan Melayu yang turut mengambil bahagian dalam memberi input berhubung usul yang akan dibahas anggota perwakilan Umno pada perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai esok hingga 7 Dis.

Ezaruddin berkata GPMS turut mencadangkan supaya peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dikembalikan dalam soal memberi bantuan kewangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), seperti sebelum wujudnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Selain itu, GPMS mahu kajian bebanan tugas guru dibuat kerana wujud dakwaan ramai guru tidak dapat memberi fokus untuk mengajar kerana dibelenggu tugas pentadbiran.

Mengulas tindakan Umno yang julung kali membuka pintu kepada pihak luar untuk membincangkan usul perhimpunan agung parti itu, beliau berkata sikap inklusif itu membuktikan Umno serius mendengar suara hati rakyat di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) mengusulkan supaya pelajar sekolah kebangsaan mendapat peluang untuk memilih antara aliran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Cambridge O-Levels, seperti yang ditawarkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata isu itu perlu dibentang dan dibahas di atas pentas Umno bagi memastikan bangsa Melayu mencapai kesamarataan dalam pergerakan sosial serta mampu mendepani cabaran global.

Noor Azimah juga berharap perwakilan Umno dapat membangkitkan semula isu menguasai bahasa Inggeris dalam subjek tertentu kerana bahasa itu memberi lebih jaminan dan kebaikan kepada anak-anak Melayu khususnya.

Usul-usul pendidikan pada perhimpunan agung Umno itu dikendalikan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Perhimpunan tahunan itu kali ini bakal disertai 5,726 anggota perwakilan Umno dari seluruh negara.
– BERNAMA

No comments: