PERCAYALAH bahawa perkara yang paling ditakuti oleh BN ialah isu yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai, termasuk orang Umno sendiri. Pilihan raya umum 1999 tahap sokongan orang Melayu terhadap BN adalah paling rendah. Puncanya kerana ahli-ahli dan penyokong Umno sendiri marahkan tindakan Dr Mahathir Mohamad yang mereka sifatkan menzalimi Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Selepas peristiwa tersebut hingga PRU 2013 tidak muncul lagi isu yang membawa kemarahan kepada orang Melayu dan Umno secara serentak.
Banyak isu yang membangkitkan kemarahan orang Melayu tetapi tidak pada orang Melayu Umno.
Selepas 15 tahun berlalu, nampaknya situasi terkini menunjukkan sudah muncul isu yang membangkitkan kemarahan orang Melayu dan Umno terhadap kerajaan. Di pejabat, kedai kopi, tempat awam, di media sosial atau di mana sahaja kini, kita mudah untuk temui ahli dan penyokong Umno marahkan kerajaan berikutan tekanan kos hidup yang semakin hari semakin membebankan.
Semua sedar bahawa punca kenaikan harga barang dan perkhidmatan berlaku akibat kerajaan menaikkan harga bahan bakar, gula, tol dan akan menaikkan tarif elektrik. Pengumuman kerajaan akan mengadakan GST juga menjadi pemangkin terhadap segala kenaikan. Para pemimpin pembangkang siap mengisytiharkan 2014 sebagai Tahun Barang Naik.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Dato’ Seri Reezal Naina Merican berani mengkritik dalam isu kenaikan kadar tol. Menurutnya, BN secara spesifik melalui akujanji pilihan raya mengumumkan akan mengurangkan kadar bayaran tol secara berperingkat.
Sebelum itu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dalam Perhimpunan Agung Umno turut mendesak kerajaan menimbang semula kenaikan tarif elektrik. Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kos hidup yang dihadapi rakyat.
Reezal, Khairy dan beberapa lagi pemimpin Umno adalah mereka yang mewakili golongan yang ‘sedar’ dalam Umno bahawa kesan membiarkan isu tekanan kos hidup adalah ancaman besar terhadap sokongan orang Melayu dan Umno sendiri terhadap kerajaan.
Apatah lagi pemimpin Pakatan Rakyat pernah memberi amaran sebelum PRU13 bahawa jika BN terus diberi mandat maka rakyat akan menderita dengan pelbagai kenaikan tarif dan barangan bersubsidi. Kerajaan BN hanya menahan sementara kenaikan dahulu demi menghadapi PRU.
Pengarah Strategik KeADILan, Rafizi Ramli pernah berkata bahawa kerajaan akan naikkan satu persatu barangan dan perkhidmatan pada 2014 sebelum GST dilaksanakan. BN tahu bahawa GST akan melonjakkan inflasi dan kenaikan harga sukar dibuat selepas itu memandangkan PRU perlu diadakan sekitar 2017-18.
Najib mungkin berpegang pada sikap ‘Melayu mudah lupa’ yang diberitahu oleh Mahathir.
Biar orang Melayu marahkan BN di awal penggal pentadbiran, tetapi di hujung pentadbiran menjelang PRU maka mereka mula menabur dedak dan umpan untuk membeli undi rakyat.
Mengikut kajian Merdeka Center populariti Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak jatuh paling rendah sejak memegang jawatan itu apabila ratingnya jatuh daripada 62% Ogos lalu ke 52% pada bulan Disember ini.
Kajian itu dibuat selepas pemotongan subsidi minyak dibuat oleh kerajaan pada September 2013, pembentangan Bajet 2014 yang memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kenyataan peningkatan tarif elektrik mulai Januari 2014.
Menurut Malaysian Insider, kajian Merdeka Center juga menunjukkan isu ekonomi terutamanya kenaikan harga dan inflasi menjadi kebimbangan sehingga 67% daripada responden yang ditanya.
Bagi Pakatan, persoalannya bolehkah kemarahan rakyat itu dikekalkan sehingga PRU14? Di beberapa negara kemarahan rakyat berhubung bebanan kos hidup yang melam p a u mampu menumbangkan kerajaan sebelum berlaku pilihan raya umum lagi. Mereka melakukannya di jalan raya.
Adakah hal tersebut mungkin berlaku di Malaysia. Jangan berbohong jika BN tidak terfikir kemungkin tersebut.
No comments:
Post a Comment