Monday, December 2, 2013

Melagukan angin perubahan dalam PAS

scorpions rock


SAYA kurang minat kumpulan Scorpions. Kumpulan rock Jerman yang tua setahun daripada DAP ini bagi saya sama maqamnya dengan kumpulan rock kapak di Malaysia seperti Terra Rossa, Bumiputera Rockers dan barangkali Fabiens. Saya lebih minat Black Sabbath atau Led Zeppelin, mungkin kerana saya sedikit anglophile.

Ada juzuk budayawan yang mahu melonggok Scorpions seiring band rock seperti Sweet Charity dan yang sewaktu dengannya. Tapi bagi saya itu hasil kekaburan mata mereka yang memandang Scorpions dengan kanta ‘orang puteh’. Tapi tak apalah, bukan itu yang saya mahu bicarakan.

Bait-bait lirik lagu kumpulan ini bertajuk ‘Wind of Change’ berkumandang di Muktamar PAS yang baru sahaja selesai. Dr Muhaimin Sulam barangkali peminat Scorpions. Maka digunakan lirik kumpulan rockers tua ini untuk mengukuhkan hujah ucapan penggulungannya.

Dr Muhaimin, dengan imej rambut panjang mayang mengurai di samping wajahnya yang jernih berjanggut membacakan rangkap syair tulisan Klaus Meine ini dengan begitu bersahaja:

Take me to the magic of the moment
On a glory night
Where the children of tomorrow share their dreams
With you and me
Take me to the magic of the moment
On a glory night
Where the children of tomorrow dream away
In the wind of change

“Bawalah daku ke saat penuh sakti kala malam gilang gemilang, Di tempat anak-anak hari esok berkongsi mimpi bersama kau dan aku; Di tempat anak-anak masa depan akan terus punya impian, dalam hembus bayu perubahan.” Demikianlah lebih kurang terjemahnya.

Lagu ‘Wind of Change’ ini ditulis dengan berlatarkan polisi glasnost yang diperkenalkan Mikhael Gorbachev kepada Kesatuan Soviet Rusia dalam pertengahan dekad 80an. Glasnost secara mudah faham membawa maksud ketelusan dan sentiasa digunakan Gorbachev dalam rangka usaha menstruktur semula Parti Komunis Rusia; atau juga disebut perestroika.

Usaha mengislah Parti Komunis Rusia yang cuba dibawa Gorbachev inilah yang menjadi inspirasi penulisan ‘angin perubahan’ Scorpions lantaran ketika itu juga bermulanya kejatuhan kerajaan blok Timur selepas tamatnya Perang Dingin. ‘Wind of Change’ seakan menjadi lagu tema sejak runtuhnya Tembok Berlin dan popular bagai nak rak di Jerman dan negara Eropah pasca terlungkupnya Parti Komunis Soviet Rusia.

Demikian peranan budayawan, penyair dan rockers yang sentiasa tidak jemu memberi muzik latar kepada sejarah di saat ia berkembang. Bukan setakat meraikan kehidupan dengan syair cinta mahupun lagu penuh kemarahan buat anak-anak muda yang menyampah duduk di rumah dengar bersama kawan ketika lepak di bawah jambatan sambil hangguk-hangguk.

PAS tak cukup rock?

Ternyata plot twist konsert rock di Karnival PAS For All ini tidak menerima banyak reaksi positif daripada pendukung parti Islam itu yang rata-ratanya berkupiah dan bertudung labuh. Rock dilihat umpama zikir mengangungkan setan, hatta setiap kali ada kumpulan rock dari negara orang puteh mahu bikin gig di ibu negara, di situlah kita akan ketemu pemuda PAS datang membantah.

Tapi itu tidak bermakna PAS tidak boleh duduk sebelah menyebelah dengan budak punk seluar koyak dan rambut pacak. PAS sudah lama menjadi pilihan mat rock yang bukan setakat mahu ‘kembali ke pangkal jalan’ malah mahu menyumbang kepada usaha menjatuhkan United Malays National Organisation. Belum pernah lagi kita dengar artis kembali ke pangkal jalan dan kemudian masuk UMNO. Belum pernah.

PAS sebenarnya lebih perlu mendekati golongan yang menjauh daripadanya. Sebuah parti politik yang hanya mahu menjaga tapak sokongannya sahaja tanpa mendapatkan sokongan kelompok baru adalah parti politik yang tidak bekerja.

Jadi PAS dan Pakatan Rakyat, harus mampu berkeadaan fleksibel dan ‘boleh bercampur’ dengan segala rockers rambut panjang jika tidak mahu dilihat sebagai organisasi mat skema yang tidak boleh bergaul.

Barangkali itulah roh angin perubahan yang mahu disampaikan Dr Muhaimin Sulam kepada perwakilan PAS di muktamar itu; supaya ahli dan pekerja parti tidak lagi meletakkan had dan jurang antara diri dan kelompok anak-anak seni yang tidak semestinya hanya tahu bergendang dan bernasyid sahaja.

Seni dan budaya itu seharusnya dipandang sebagai satu lagi jalan untuk meraih sokongan dan bukannya dijadikan alasan untuk menambahkan penentangan.

Menepis lambaian UMNO

United Malays National Organisation melambai-lambai dalam dua keadaan. Pertama sebelum menaiki jet peribadi untuk pergi makan angin atau buat lawatan rasmi. Kedua dalam keadaan ia terapung-apung nyawa-nyawa ikan hampir mahu mati.

Lambaian ini seharusnya ditepis dengan manis muka, mengikut saranan Al-Fadhil Hj Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS yang berjaya mengekalkan jawatannya di tengah asakan kanan dan kiri membunuh kerjaya politiknya di PAS.

PAS sudah punya tapak yang kukuh dalam koalisi Pakatan Rakyat. Ini tidak ada makhluk yang boleh nafi.

Bersama-sama Pakatan Rakyat, PAS sudah boleh duduk semeja dengan DAP yang sejak dulu mahu menjeling pun susah sekali. Melalui koalisi ini, PAS berjaya prestasi yang cemerlang dan bukan sahaja menawan Kedah dalam PRU ke-12 malah turut mengetuai kerajaan negeri Perak suatu ketika dahulu.

Koalisi politik yang dinikmati parti komponen Pakatan Rakyat tidak akan dapat dicapai sekiranya PAS membalas jelingan nakal UMNO dengan senyum simpul penuh makna. Jelingan UMNO mengajak berpadu ini seakan lirikan mata langsuir mahu membonceng motosikal di tengah malam.

Justeru PAS mesti sentiasa bijak mengatur langkah dan memasang pendinding agar tidak menjadi mangsa parti politik yang sudah berpuluh tahun menikamnya berulang kali.

Angin perubahan yang membayu di dalam PAS akan memberikan nafas segar kepada keseluruhan koalisi politik Pakatan Rakyat dalam usaha merapatkan barisan dan menyusun semula gerakan menuju Putrajaya. Apa yang penting ialah ‘kerjasama’.

UMNO akan terus cemburu dengan cinta tiga segi PAS, PKR dan DAP. Ia akan terus menyerang. Namun Pakatan Rakyat harus terus bertahan, demi mimpi anak-anak hari esok. “Where the children of tomorrow dream away, In the wind of change” – Roketkini.com

LIHAT VIDEO DI SINI

No comments: