ASPAN ALIAS
UMNO sudah tidak tentu arah dan
tidak mempunyai hala tuju perjuangan yang meyakinkan. Sesebuah pertubuhan itu
hanya berubah samada untuk kebaikan atau sebaliknya kerana sikap dan nilai
mereka yang memimpinnya. Saya tidak bersetuju sesiapa yang mengatakan UMNO itu
tidak baik. UMNO itulah yang telah membina negara selama ini bersama
rakan-rakan kongsi dalam Perikatan dan BN.
Tetapi UMNO itu kian jatuh dan
lemah kerana manusia yang memimpinnya. Manusia yang menjadi pemimpinnya
sekarang sudah hilang segala pedoman bagaimana hendak melangsungkan perjuangan
parti itu, maka kian hari parti itu di ketepikan dari pemikiran dan sokongan
ramai.
Baju dan pakaian walaupun
berharga murah tetapi jika si pemakainya mempunyai kedudukan dan dihormati,
pakaian yang murah tadi akan nampak mahal dan berharga. Tetapi jika
sipemakainya itu tidak baik dan tidak senonoh, pakaian yang mahal sekali pun
akan nampak murah. Wanita yang langsing tubuhnya dan jinjang lehernya akan
nampak anggun jika memakai pakaian yang tidak berapa mahal. Sebaliknya kepada
wanita yang rendah, pakailah pakaian secantik dan mahal mana pun pakaian itu
akan tetap nampak murah.
Begitu juga pertubuhan-pertubuhan
termasuk parti politik akan dihormati jika pertubuhan itu dipimpin oleh manusia
yang dihormati dan disanjung. Dulu-dulunya pemimpin setiap peringkat UMNO dihormati
tetapi tidak lagi sekarang ini, kerana pemimpin-pemimpinnya tidak menjaga diri
mereka dengan baik yang bersesuaian dengan kehendak niat dan matlamat pertubuhan
itu.
Dulu pimpinan UMNO sangat dihormati kerana manusia dan
rakyat memahami nilai seseorang atau kumpulan pemimpin itu. Dulunya UMNO
berjuang dan nampak hasilnya secara ‘organic’ dan menjadi contoh kepada banyak
negara membangun yang lain tetapi sekarang ini pemimpin-pemimpin UMNO mempunyai
‘stigma’ buruk seperti rasuah yang tidak boleh tanggal lagi selagi parti itu
dipimpin oleh pemimpin yang berimejkan elemen negatif.
Keruntuhan nilai pemimpin kita
diketahui masyarakat antarabangsa dan banyak individu yang menulis tentang
pimpinan kita secara terbuka dikhalayak antarabangsa. Ini bukan isu dan
masalah kecil buat negara. Tetapi kita masih lagi membiarkan isu negatif
terhadap pimpinan kita seolah-olah itu adalah isu biasa yang tidak perlu
diambil hal dan dipedulikan.
Sekarang UMNO sedang bertungkus
lumus untuk memperbaiki persepsi ramai terhadapnya dan menganggap PRU ke 14
sebagai pilihanraya yang lebih sengit dari pilihanraya umum yang baru lepas
ini. Tetapi kita sendiri telah melihat bagaimana penampilan TS Muhyidin dan
Najib dalam ucapan kedua-duanya setakat ini dalam perhimpunan sayap parti itu
dengan ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO pagi tadi.
Tiada apa yang lainnya dalam
ucapan Najib dengan ucapan harian beliau di mana-mana. Ibarat pakaian apa yang
Najib pakai hari ini hanya baju basahan yang dipakainya setiap hari di rumah.
Tiada yang baru dan tiada yang menakjubkan selain dari tepukan dari perwakilan
yang sememangnya dijemput ke Dewan Persidangan untuk bertepuk tangan dan
mendengar jenaka mega tahunan selama empat hari itu.
Sememangnya tidak ada yang lain
dari apa yang beliau sebutkan selalu. Ucapan itu hanya merupakan ucapan-ucapan
yang dikumpul dan disusun semula untuk dijadikan satu ucapan perasmian
Perhimpunan Agung itu.
Saya tidak dapat mendengar ucapan
beliau sampai kepenghujung ucapan beliau kerana saya telah tertidur agak agak
ucapan beliau sudah sampai ke70 peratus. Saya terkilan kerana tidak sempat
hendak menyaksikan bagaimana perwakilan bangun dan memberikan tepukan gemuruh
seperti yang berlaku sejak beberapa dekad dahulu.
Apa hasilnya dari ucapan Presiden
UMNO itu pagi tadi? Saya pun tidak dapat untuk mengagaknya. Tetapi satu yang
pasti, persepsi rakyat tentang sinonim rasuah dan pemimpin yang tidak boleh
dipercayai tetap wujud. Seperti yang saya katakan selalu dahulu, pemimpin UMNO
dan rasuah itu adalah seperti 'aur dengan tebing', saling memerlukan diantara
satu dengan yang lain.
Tidak ada tanda-tanda yang
meyakinkan yang Presiden UMNO dan barisan pimpinan teratas itu telah sedar yang
mereka tidak lagi dihormati kerana mereka sedang menghadapi krisis keyakinan
yang sangat hebat.
Tidak tahulah jika perwakilan
yang melebihi 5 ribu orang itu dapat mengingatkan pimpinan diatas pentas itu
tentang betapa tidak berkeyakinan rakyat ramai yang mendengar ucapan Presiden
itu. Berikan cadangan untuk meminta
barisan pimpinan itu berundur dan mengganti barisan pimpinan yang baru yang
lebih meyakinkan rakyat ramai bukannya setakat meyakinkan ahli-ahli UMNO yang
menjadi perwakilan sahaja.
Orang yang hendak melakukan
perubahan dan membaik pulih keadaan mestilah dari orang atau barisan yang tidak
terlibat memusnahkan perkara yang hendak dipulihkan itu. Bagaimana Najib dan
keseluruhan pimpinan itu hendak memulihkan keadaan itu, sedangkan keadaan yang
mesti dipulihkan itu ada lah hasil kerja mereka sendiri.
Jika mereka ditugaskan untuk
membetulkan kembali kerosakkan itu, nescaya ia akan bertambah buruk lagi
hasilnya. Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya dari Afrika berkata, “If
you want to break anything give it to the African to do the job, and if you
want to make it worst, again, give it to the African to fix it back”.
UMNO sudah begitu sinonim dengan
kerosakkan negara, walaupun parti itu pernah membina negara dengan begitu baik.
Apa yang telah dibangunkan oleh pimpinan UMNO yang baik dahulu sudah dirosakkan
oleh pimpinan hari ini. Pimpinan UMNO hari ini merupakan kumpulan yang sentiasa
mengamalkan ‘vandalism’ terhadap negara.
Semua sistem bernegara telah
ranap dan institusi demokrasi telah terlacur dan semua rakyat termasuk mereka
yang memimpin sekarang sudah hilang segala hala tuju perjuangan dan
tanggungjawab mereka. Rakyat menjadi mangsa mereka dan rakyat pula yang
menanggung segala kemudharatan hasil dari perlakuan orang-orang yang memimpin
UMNO itu.
Bagaimana kita harus percaya
janji-janji mereka untuk melakukan transformasi terhadap politik dan negara
itu? Kalau kita padankan dengan perbilangan untuk orang Afrika tadi, ia akan
berbunyi seperti berikut, ‘kalau hendak melihat kerosakkan, berikan kepada UMNO
tanggungjawab itu, kalau hendak melihat kerosakkan yang lebih teruk lagi,
berikan juga kepada UMNO untuk membetulkannya’.
No comments:
Post a Comment