THE MALAYSIAN INSIDER
Tiga
belas warga Indonesia termasuk empat wanita hari ini dipenjara antara
dua dan sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana
menggunakan kad pengenalan palsu dan memiliki kad pengenalan milik
individu lain.
Kesemua mereka yang berumur lingkungan 18 hingga 43 tahun didakwa di
dua mahkamah berasingan. Mahkamah menjatuhi hukuman itu selepas kesemua
tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.
Di hadapan Majistret K B Elena Hong Tze Lan, lima lelaki dan dua wanita dipenjara antara enam dan sembilan bulan.
Empat lagi lelaki dan dua wanita pula dipenjara antara dua dan tujuh bulan oleh Majistret Mohd Nazri Omran.
Mohd Nazri memerintahkan seorang daripada tertuduh wanita itu menjalani
hukuman penjara dua bulan kerana tertuduh mengandung empat bulan.
Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman tersebut
bermula daripada tarikh mereka ditangkap iaitu 23 November lalu dan akan
dihantar pulang ke Indonesia selepas selesai menjalani hukuman.
Mereka didakwa melakukan kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan
memiliki kad pengenalan milik individu lain di Taman Subang Mas, di
sini antara 12.01 pagi hingga 3 pagi, 23 November lalu.
Warga Indonesia itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(a) dan Peraturan
25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum
penjara sehingga tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada Jabatan Pendaftaran
Negara Norsheila Jamalluddin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili
peguam. - Bernama,
No comments:
Post a Comment