SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Warga Nigeria merupakan rakyat asing paling ramai iaitu
seramai 378 orang yang ditahan tahun lalu berkaitan pelbagai kesalahan
jenayah penipuan komersil.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk
Syed Ismail Syed Azizan berkata warga Taiwan di tempat kedua paling
tinggi iaitu seramai 175 orang, diikuti China dan Indonesia
masing-masing seramai 154 dan 136 orang.
"Seramai 1,796 warga asing dari 44 buah negara termasuk Afrika Selatan,
Filipina, Pakistan, Bangladesh, India, Nepal, Thailand, Vietnam dan
Myanmar ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah
komersil di negara ini yang kebanyakannya dilakukan tahun lalu.
"Antara kes yang terlibat ialah jenayah siber, penipuan, salah guna
harta, pemalsuan dan penggunaa wang palsu yang kebanyakannya dilakukan
terhadap warga tempatan," katanya kepada pemberita.
Syed Ismail berkata secara keseluruhan pihaknya menahan seramai 6,006
orang yang terlibat dalam jenayah seperti itu dan 3,056 orang berkaitan
kes penipuan dan selebih membabitkan kes seperti jenayah siber,
penggunaan wang palsu dan kes berkaitan VCD/DVD haram.
"Sebanyak 18,386 kes yang membabitkan kerugian sebanyak RM1.6 bilion
telah dibuka tahun lepas dengan 6,675 iaitu 36.21 peratus daripada kes
itu dalam proses pertuduhan manakala 2,762 orang pula telah dituduh,"
katanya.
Menurut statistik yang dikeluarkan JSJK pada tahun 2012, kes seperti
itu kerap berlaku di Selangor iaitu sebanyak 3,775 kes diikuti Johor
(2,968), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2,707), Perak (1,299), Pulau
Pinang (1,155), Sabah (1,128), Pahang (947), Negeri Sembilan (946),
Sarawak (830), Kedah (821), Melaka (816), Terengganu (468), Kelantan
(329) dan Perlis (197).
Syed Ismail berkata trend yang digunakan penjenayah pada masa kini
ialah menipu atas talian seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas
(SMS) atau Internet.
Ditanya punca orang ramai mudah menjadi mangsa, Syed Ismail berkata
sikap tamak kadang-kadang membuatkan masyarakat sering leka sekalipun
mempunyai pendidikan inggi.
Katanya masyarakat juga mudah terpedaya dengan paparan gambar pada Internet.
"Antara contoh penipuan yang dilakukan melalui Internet ialah 'love
scam' iaitu meletakkan gambar yang cantik di Facebook, tetapi secara
realiti wajah sebenar pemilik gambar itu tidak diketahui," katanya. -
Bernama
No comments:
Post a Comment