Oleh Norutul Ilham
PETALING JAYA : Kira-kira 30 samseng dari beberapa NGO pro Umno
membuat kecoh di depan Ibu Pejabat KEADILAN, kira-kira jam 3 petang
tadi.
Kekecohan berlaku selama 20 minit sebelum kumpulan itu beredar.
Perhimpunan tersebut bagi menuntut supaya Naib Presiden, Tian Chua
memohon maaf susulan kenyataan kontroversi berhubung insiden di Lahad
Datu, Sabah.
Sambil
membawa kain rentang mengutuk Tian dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,
kumpulan itu menjerit-jerit memburukkan Pakatan Rakyat dan Ketua Umum
KEADILAN.
Menurut pengawal keselamatan di premis itu, S Valu, kumpulan samseng
tersebut merupakan kumpulan yang sama membuat kecoh di pejabat KEADILAN
dua minggu lalu.
“Mereka adalah kumpulan yang sama, cuma kali ini mereka jerit-jerit burukkan parti dan Datuk Seri (Anwar).
“Lepas selesai menjerit, terus mereka balik,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Valu, semasa kejadian, lebih kurang 20 polis hanya mengawal dan memerhati tindakan samseng itu sehingga mereka bersurai.
Terdahulu, pada 11 Mac lalu, kumpulan samseng sama membuat kecoh di
hadapan pejabat KEADILAN sehingga menyebabkan seorang kakitangan cedera
dan harta benda rosak.
Mereka bertindak liar dengan membaling telur dan kayu ke arah pejabat dan kakitangan yang terlibat.
Serangan itu menyebabkan logo parti di pintu utama pecah dan tiang
tempat letak kereta Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution
Ismail patah.
Bagaimanapun, kejadian itu hanya diperhatikan polis tanpa ada usaha untuk meleraikan kekecohan tersebut.
Lebih teruk lagi, tiada satupun siasatan dan tindakan dikenakan ke atas samseng terlibat. – NS
No comments:
Post a Comment