Thursday, March 28, 2013

DAP Selangor larang calon luar tanding PRU13

 
Mereka tidak memerlukan calon luar kerana sudah ada calon tempatan sendiri yang lebih layak dan berwibawa. 



KLANG: Akar umbi DAP Selangor hari ini menyatakan pendirian untuk tidak mahu menerima dan menyokong mana-mana calon luar parti itu yang berhasrat masuk bertanding di Selangor.

Pengerusi DAP Cawangan Taman Gembira Ivan Ho berkata, mereka tidak memerlukan calon luar kerana sudah ada calon tempatan sendiri yang lebih layak dan berwibawa.

“Calon luar dan muka baru tidak harus diberi peluang untuk bertanding di sini kerana ia hanya akan mewujudkan kesan negatif ekoran rasa tidak puas hati ahli DAP negeri dan perpecahan dalaman parti.

“Kami mendesak supaya Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) memilih calon berdasarkan sokongan penduduk tempatan selain memiliki integriti yang baik.

“Maka pilihlah dengan bijaksana demi masa depan parti dan bukannya untuk keuntungan dan agenda peribadi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

DAP Selangor memiliki peruntukan 19 kerusi untuk bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) 13; empat kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun menurut Ivan, tidak ada sebab 15 Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP negeri itu tidak diberi peluang langsung untuk jadi calon di 19 kerusi berkenaan.

Ahli senior 

Katanya, ahli DAP senior negeri yang memenuhi kelayakan CAT (Kompetensi, Kebertanggungjawaban dan Transperansi) tanpa mengira latar belakang, jantina, atau puak perlu diberi keutamaan untuk dijadikan sebagai calon.

Ivan berkata, selain AJK DAP negeri yang dilantik AJK Perhubungan kawasan Parlimen dan pemimpin cawangan tempatan perlu diberi keutamaan kerana mereka adalah pemimpin yang dilantik.

“Kita perlu menolak budaya berpuak-puak. Sesiapa yang layak perlu diberikan peluang dan pertimbangan yang sama rata untuk diletakkan bertanding.

“Sekarang ni pemilihan parti sudah berakhir, kita perlu bersatu semula dan tidak ada sesiapa pun yang perlu dipinggirkan,” katanya.

Selain itu, beliau juga menggesa mana-mana penyandang ahli Parlimen, ADUN, ahli majlis termasuk ketua kampung yang gagal mempamerkan

prestasi yang baik dan korup sepanjang perkhidmatan perlu dibuang.

Bekas ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu berkata, ini bagi memastikan sokongan majorit rakyat Selangor terhadap DAP terus terjamin.

Beliau turut menyatakan kekesalannya dengan Jawatankuasa Pilihan Raya DAP Selangor yang didakwanya sehingga kini tidak berfungsi dan tidak melakukan proses pemilihan calon PRU dengan telus.

DAP setakat ini menyaksikan beberapa pertukaran kerusi pemimpinnya, bermula dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang, anak jati Johor yang mahu kembali ke tempat asal dan bertanding Parlimen Gelang Patah selepas lama bertanding di Melaka, Pulau Pinang, dan Perak sepanjang kariernya.

Selain Kit Siang, wujud spekulasi menyatakan Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, MP Batu Gajah Fong Po Kuan serta MP Bukit Bendera Liew Chin Tong juga akan bertukar angin bertanding di Johor.

No comments: