Monday, September 24, 2012

Sehingga Julai Selangor Terus Catat Pelaburan Tertinggi RM7 Bilion




SABAK BERNAM : Selangor terus berjaya mengatasi negeri lain di dalam negara dengan jumlah pelaburan kira-kira RM7 bilion sejak Januari hingga Julai lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkembangan ekonomi global yang tidak menentu tidak sedikitpun menjejaskan minat pelabur untuk terus menanam modal di negeri ini.

Beliau berkata, keyakinan pelabur itu adalah petanda baik bagi pertumbuhan ekonomi di Selangor.

“Sehingga setakat ini Selangor masih mencatat jumlah pelaburan terbesar di Malaysia.

“Terbaru pihak Thailand juga berminat untuk melabur di negeri dengan menyatakan bila berjaya dalam pelaburan ini taraf mereka akan meningkat,” katanya dalam ucapan di majlis penyampaian hakmilik tanah dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa 2 di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, pelaburan berterusan ini akan membuka banyak peluang perdagangan seterusnya pekerjaan di Selangor.

Katanya, rakyat negeri ini tentunya akan mendapat faedah yang banyak tanpa perlu berhijrah ke negeri lain untuk bekerja.

“Berbanding negeri lain seperti Sabah, rakyatnya perlu keluar untuk mencari kerja,” katanya.

Menjelang hujung tahun ini Kerajaan Negeri mensasarkan peningkatan pelaburan yang lebih tinggi berdasarkan kemasukan pelabur dari dalam dan luar negara untuk menjalankan perniagaan di negeri ini.

Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri sudah mengenal pasti beberapa pelabur berpotensi antaranya dari China, Jepun dan Korea yang dijangka akan membuat pelaburan dan operasi di negeri ini tidak lama lagi.

No comments: