Sunday, September 23, 2012

Royalti Kelantan: 160 ribu referendum akan diserah pada Najib

Oleh: Aliff Fikri

KOTA BHARU: Seramai 1400 rakyat akan bertolak dari Kota Bharu, Kelantan sempena Konvoi Mega Royalti Ke Putrajaya pada 2 hingga 3 Oktober ini.

Rakyat Kelantan menuntut supaya royalti minyak diserahkan kepada kerajaan negeri.

Konvoi anjuran Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) bertujuan menuntut hak royalti minyak diserahkan kepada rakyat Kelantan.

Setiausahanya, Syam Ghaz berkata, konvoi tersebut juga diadakan sempena tarikh perbicaraan kes saman Kerajaan Kelantan terhadap Petronas pada 3 Oktober 2012.

“Kita akan berlepas dari Kota Bharu jam 7:30 pagi dan akan terus menuju ke tapak ceramah Himpunan Rakyat Tuntut Royalti di Dataran Kemerdekaan Shah Alam,” katanya yang menambah program solat Hajat akan turut diadakan.

Himpunan itu, katanya, akan dihadiri Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan,  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Menurutnya, dua pemimpin dari Sabah, Datuk Lajim Ukin dan Datuk Yahya Lampong juga mengesahkan kehadiran di himpunan tersebut.

Beliau berkata, 160 ribu referendum akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada keesokan harinya.

“Referendum terkumpul ini sebagai menyatakan sokongan rakyat terhadap perjuangan menuntut royalti minyak ini akan kita serahkan pada Najib.

“Kita menuntut agar Najib tidak terus mengenepi dan menganiaya rakyat Kelantan berhubung isu minyak ini,” katanya.

Usaha menuntut royalti minyak mula digerakkan ketika berlangsung kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009.

Merujuk perjanjian hasil cari gali yang dimeterai antara Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Petronas pada 1975, Petronas wajib membayar 5 peratus dari keuntungan minyak kepada Kerajaan Negeri.

No comments: