Tuesday, September 25, 2012

PR nafi campur tangan asing

Wartawan Sinar Harian

'Saya tak akan minta maaf kepada Shahrizat'
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
SHAH ALAM - PKR menolak tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai wujudnya campur tangan kuasa asing membantu pembangkang dalam usaha menumbangkan kerajaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail berkata, tuduhan itu tidak berasas kerana perjuangan pembangkang adalah untuk memenuhi aspirasi rakyat dalam menuntut hak dan kepentingan mereka, bukan mengikut telunjuk pihak luar.

"Ini kenyataan terdesak Dr Mahathir yang takut BN hilang kuasa pada pilihan raya akan datang," katanya.

Menurutnya, tuduhan itu disuarakan kerana Umno semakin bimbang dengan kesedaran rakyat yang mahu melihat perubahan.

"Apa disebut Dr Mahathir itu adalah pandangan lapuk dan sudah tak relevan," katanya.

Menurutnya, jika Dr Mahathir mahu pandangannya diberi perhatian, beliau harus kemukakan bukti dan fakta.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub berkata, kenyataan Mahathir tidak lebih hanya gambaran ketakutan bekas Perdana Menteri itu jika negara ini bertukar kerajaan pada pilihan raya akan datang.

"Saya anggap dia tidak boleh terima kebangkitan rakyat. Kekuatan hari ini wujud kerana rakyat sudah semakin bijak. Dakwaan seumpama itu timbul kerana Dr Mahathir tidak sanggup melihat perubahan kepada negara ini. Kerana itu, dalam ucapannya hari-hari, perkara sama dibangkitkan," katanya.

Katanya, sejak awal lagi, Pakatan Rakyat (PR) jelas dengan manifesto dan masih dalam kerangka Perlembagaan serta akan mengekalkan sistem demokrasi sedia ada.

"Asas-asas itu akan tetap terpelihara. PR tidak akan mengizinkan mana-mana negara luar membentuk negara ini," katanya.

No comments: