Sunday, September 2, 2012

Lebih 1,000 pendidik berhimpun 8 September

Harakahdaily,

(Banner Himpunan Pendidik 2012 di Shah Alam)

SHAH ALAM: Lebih 1,000 pendidik khasnya dari Selangor akan menyertai Himpunan Pendidik Islam 2012 8 September 2012  di Dewan Unisel, Shah Alam.

Turut serta dan bakal dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik Nusantara adalah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS.

Demikian kata Pengerusi NGO Pendidik, Normala Sudirman (gambar) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, antara objektif program  ini adalah untuk membina rangkaian hubungan yang rapat antara para pendidik di seluruh Malaysia.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meraikan guru-guru, tokoh-tokoh pendidik dan pengurus pendidikan pelbagai institusi dan pelbagai bangsa dari seluruh Selangor dan seluruh Malaysia yang telah menaburkan bakti, mencurahkan jasa membangunkan modal insan serta mengangkat martabat pendidikan negara.

“Dengan memilih tema himpunan 'Guru Menjana Kebijaksanaan', adalah diharapkan agar warga pendidik seluruh Malaysia terus beriltizam untuk terus berbakti dan mencurah tenaga demi memacu halatuju pendidikan negara,” katanya dengan penuh keyakinan dan optimis.

Himpunan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik Malaysia), dan MAPPIS(Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor).

Pihak penganjur menyasarkan penyertaan  lebih 1,000 orang warga pendidik dan pengurus pendidikan dari seluruh negeri Selangor yang akan hadir untuk memeriahkan majlis.

Antara kelompok sasaran adalah 1000 warga pendidik dari Negeri Selangor dari pelbagai institusi  dan 300 orang warga pendidik jemputan dari negeri-negeri seluruh Malaysia.
Program bersejarah ini juga bakal membariskan tokoh – tokoh dan ikon pendidik di Malaysia termasuk pesara professional pendidikan seperti Dato’ Adnan Bin Ibrahim ( Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak) dan lain lain.

Majlis ini akan diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang akan menyampaikan ucaptama seterusnya akan  menerima anugerah dan bakal dinobatkan sebagai ‘Tokoh Pendidik Nusantara’.

Selain daripada itu, beberapa anugerah akan disampaikan sebagai menghargai jasa pendidik yang telah mencurahkan bakti mendidik anak bangsa seperti Anugerah Tokoh Pendidik Muda kategori lelaki dan wanita sebagai suatu suntikan semangat.

Kehadiran  Sasterawan Negara A.Samad Said yang bakal mendeklamasikan  puisi juga dijangka bakal mencuri tumpuan hadirin warga pendidik yang hadir.

Selain daripada kehadiran dari seluruh Malaysia dan guru-guru di  Selangor dari pelbagai institusi (Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi, Institut Perguruan (IPG),Sekolah Swasta dan Persendirian),ramai tokoh pendidik (berkhidmat dan bersara)  serta tokoh pendidik jemputan, aktivis pendidikan dari Pendidik dan Kawan juga akan hadir bagi memeriahkan dan menjayakan majlis yang cukup berprestij ini.

Antara tokoh yang akan menyampaikan ucaptama adalah Ustaz Datuk Abu Bakar Chik selaku Mustasyar NGO PENDIDIK dan  Dr. Hajjah Halimah Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor.

“Selaku Presiden NGO Pendidik, saya menyeru agar semua warga pendidik dan tokoh pendidik seluruh Malaysia agar dapat hadir untuk memeriahkan dan menjayakan program ini untuk menzahirkan iltizam yang padu dalam usaha memacu halatuju dan masa depan pendidikan negara,” kata Cikgu Mala lagi dengan penuh harapan.

No comments: