Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.45 malam.
"Bertindak atas maklumat, kita telah mengarahkan sebuah bot yang sedang beroperasi di kawasan itu agar ke lokasi kejadian.
"Setelah bot APMM merapati kapal tersebut, perompak terbabit berjaya melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal APMM mendapati suspek yang menggunakan sebuah bot kayu berbumbung, telah menaiki MT Bintang melalui haluan kapal.
Katanya, suspek menyerang petugas bilik jentera dan mengikat semua kru, yang terdiri daripada 14 warga Myanmar dan dua Sri Lanka berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun, sebelum melarikan beberapa telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai.
Ketika kejadian, MT Bintang yang didaftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia, membawa muatan minyak jenis Marine Fuel Oil sebanyak 7,000 metrik tan.
Adon juga berkata pihaknya percaya kumpulan itu cuba mencuri minyak kapal seperti kejadian rompakan ke atas MT Scorpio pada 13 Sept lepas berikutan modus operandi yang sama.
Beliau berkata APMM kini giat memburu kumpulan itu dan meminta mereka yang mempunyai maklumat menghubungi agensi tersebut.
MT Scorpio, yang didaftar di Tarawa, Kiribati, telah dirompak di perairan sama oleh sekumpulan enam lelaki bertopeng yang kemudian memindahkan muatan minyak kapal itu ke sebuah kapal lain, MT Sea Jade.
Ketika APMM tiba di lokasi kejadian, kapten MT Sea Jade dan 12 kru kapal itu masih lagi memindahkan minyak tersebut, namun suspek berjaya melarikan diri. - Bernama
No comments:
Post a Comment