SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan lebih dari
sekadar menunjukkan statistik dalam isu keselamatan awam, kata Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata, ini kerana pemerhatian umum mendapati masyarakat yang
menyandarkan persepsi mereka kepada kehidupan seharian, masih ragu-ragu
bahawa kes jenayah menurun seperti yang dilapor PDRM.
"Bagi tempoh dua tahun lepas, secara keseluruhan polis mempamerkan
prestasi memberangsangkan dalam menurunkan kadar jenayah, namun
statistik yang diberi polis dan pihak berkuasa tidak cukup untuk
meyakinkan masyarakat," katanya kepada Bernama, di sini.
Usaha memerangi jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara
(NKRA) sejak 2010 menunjukkan kadar jenayah di negara ini menurun kepada
11.1 peratus pada 2011 sementara jenayah jalanan pula berkurangan
sebanyak 40 peratus.
Statistik PDRM juga mencatatkan untuk tempoh lima bulan pertama tahun
ini, kes jenayah keganasan menurun kepada 12,294 kes berbanding 12,446
bagi tempoh sama tahun lepas, sementara jenayah harta benda pula
berkurang daripada 9,287 kepada 9,252.
Usaha Malaysia mengurangkan jenayah mendapat pengiktirafan badan dunia
termasuk World Justice Project yang meletakkan Malaysia sebagai negara
kelas pertengahan atas ke-19 paling selamat di dunia dalam Rule of Law
Index 2011.
Indeks Keamanan Global (GPI) 2011 pula meletakkan Malaysia sebagai
negara paling aman di rantau Asia Tenggara dan ke-19 paling selamat
daripada 153 negara di dunia.
"Statistik dan laporan ini sememangnya menggalakkan hasil usaha yang
dilakukan pihak berkuasa, namun ini sekadar permulaan dan komitmen
jangka panjang diperlukan untuk memastikan keadaan ini berterusan,"
katanya.
Beliau berkata, selain memantapkan strategi membanteras dan mencegah
jenayah, polis juga harus menumpukan kepada usaha meningkatkan hubungan
dengan orang ramai menerusi komunikasi dan kerjasama dengan mereka.
Pembabitan setiap segmen masyarakat umum juga penting dalam usaha
mengekang perbuatan jenayah pada peringkat akar umbi, kata Lee.
"Saya dapati ada budaya jenayah keganasan sedang muncul dalam
masyarakat kita, terutama dalam kalangan belia yang menggunakan
keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah. Mungkin mereka dipengaruhi
kemajuan teknologi maklumat dan ini kita perlu teliti," katanya.
Beliau juga mencadangkan agar kurikulum khas mengenai budaya jenayah
dan pencegahannya diperkenal dalam sistem pendidikan negara dan pada
masa yang sama masyarakat melihat semula peranan dan tanggungjawab
mereka dalam mengekang jenayah.
"Kita perlu mendidik orang awam dan memupuk dalam diri mereka bahawa
sebarang bentuk jenayah termasuk rasuah adalah salah dan mempunyai kesan
buruk ke atas masyarakat.
"Saya fikir ini cara berkesan untuk kita mencapai satu masyarakat bebas
jenayah dalam jangka masa panjang," katanya menambah MCPF juga
bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran menubuhkan kelab pencegahan
jenayah di sekolah. - Bernama
No comments:
Post a Comment