Tuesday, September 25, 2012

Iklan air: Kenapa terdesak sangat?

MALAYSIA CHRONICLE


Apabila krisis air di Selangor dicipta dan dibesarkan, ia membayangka isu ini menjadi modal penting kempen pilihan raya umum ke 13. Lebih parah lagi pihak tertentu cuba menanamkan sentimen bahawa inilah padahnya apabila kerajaan negeri terlalu baik mahu memberi air percuma kepada rakyat. Walhal, isu ini bukan suatu isu dan ia bukan pula masalah yang timbul. Kerap kali Menteri Besar menafikan krisis air sedang berlaku di negeri tersebut dengan membawa beberapa fakta penting untuk diketahui oleh rakyat.

Dalam pada itu timbul pula suatu pendedahan adanya usaha memburukkan kerajaan negeri Selangor melalui krisis air ini. Yang terbaru dengan adanya iklan yang cuba dilakonkan oleh beberapa individu yang diupah bagi melakonkan watak tertentu dengan lokasi dan babak yang digambarkan seolah-olah kirsis air sedang meruncing di Selangor. Kejadian itu dikatakan dilakonkan secara rahsia dan berlaku di Petaling Jaya. Penerbitan filem ini merahsiakan projek filem yang dikendalikannya kononnya mahu menjaga hati pelanggannya. Apabila diasak oleh banyak pihak, mereka hanya menyatakan ia sekadar untuk iklan kempen air.

Apakah mesej dari lakonan babak dalam iklan ini melainkan sebagai suatu gambaran betapa meruncingnya masalah air di negeri Selangor? Penduduk serta pelakon tambahan pula tidak diberi maklumat sebenar iklan tersebut. Jika diikut logik, penerbit atau pengarah pasti memaklumkan kepada pelakonnya apakah konsep iklan tersebut supaya jelas dalam pemikiran masing-masing apakah mesej disebaliknya. Malah, wartawan juga tidak dibenarkan membuat liputan penggambaran iklan tersebut. Jika iklan ini membawa mesej benar, mengapa dirahsiakan? Apakah ada projek khas yang dibiayai oleh mana-mana individu bertujuan mahu memburukkan kerajaan negeri Selangor?

Saya berharap kes ini dapat disiasat sebaik mungkin dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Memburukkan kerajaan negeri melalui medium apa pun tanpa fakta yang benar adalah suatu fitnah dan kerajaan negeri wajar mengambil tindakan undang-undang termasuk menyaman dalang disebaliknya. Mungkin banyak lagi rencana, dokumentari, video khas serta risalah yang akan muncul menjelang PRU ke 13 bagi memastikan kerajaan negeri Selangor dijatuhkan dengan cara yang tidak berakhlak.

Adalah diharapkan pihak tertentu yang berniat buruk dengan kerajaan Selangor agar bersikap jujur, adil serta amanah dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat. Jangan kerana tamakkan kuasa dan terlalu ingin menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu, sanggup direka seribu satu isu yang tidak berbangkit bagi menaikkan sentimen rakyat. Sebaiknya. bawalah tawaran baru yang mampu memenangi hati rakyat. Rakyat sudah semakin celik maklumat dan tahu fakta sebenar isu ini, serta tidak rela ditipu buat sekian kalinya.-harakahdaily

No comments: