Monday, September 24, 2012

Gerakan bersama kebangkitan OKU

 
Mampukah simpati terhadap golongan terpinggir menjayakan perlaksanaan program pembangunan OKU yang lebih menyeluruh?



Saya berpeluang menghadiri Persidangan OKU Darul Naim Peringkat Kebangsaan di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Mac 2012. Sejak itu, saya selalu berfikir untuk menulis secara khusus mengenai usaha yang dilakukan oleh peguam cacat penglihatan, Mohammad Faizal Che Yusof bersama-sama rakan-rakannya.

Pendirian saya adalah bahawa golongan minoriti perlu berani bangkit memperjuangkan hak supaya “suara” mereka tidak tenggelam begitu sahaja di tengah-tengah hiruk-pikuk dan kokokan golongan politikus yang selalu terlepas pandang isu-isu sebenar dalam kalangan Rakyat.

Mohammad Faizal menjadi kenalan saya menerusi laman rangkaian sosial Facebook sejak Ogos 2011 apabila peguam itu menawarkan diri untuk turut membantu beberapa rakan penulis yang menjadi mangsa royalti teks Komsas. Kementerian Pelajaran Malaysia masih gagal membela nasib para penulis terbabit.

Pada 19 September 2012, saya menghubungi pemuda berumur 36 tahun itu untuk bertanya akan perkembangan selepas persidangan bagi orang kurang upaya (OKU) yang diadakan dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Pertubuhan OKU Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO.

“Kami menzahirkan suatu penisytiharan yang dinamai Pengisytiharan OKU Darul Naim 2012. Melaluinya, kami menggesa pihak kerajaan di setiap peringkat dengan dimulai kerajaan di peringkat persekutuan, mengadakan suatu kerangka pembangunan OKU yang menyeluruh dengan diterajui oleh suatu badan atau jawatankuasa yang bertanggungjawab terus kepada kabinet di peringkat pusat atau Majlis Mesyuarat Kerajaan di peringkat negeri,” beliau menghuraikan.

Memorandum kepada Suhakam

Mohammad Faizal yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO OKU Kelantan berkata, pihaknya turut menyokong penuh penyerahan memorandum bersama OKU oleh Majlis Peguam kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 17 Mac lalu.

Bagaimanapun, saya masih ingat luahan rasa kecewa yang dilahirkannya di Facebook pada 23 Mac lalu kerana setelah hampir seminggu kempen Gerakan Bersama Kebangkitan OKU (Bangkit) menyerahkan memorandum bersama OKU kepada Suhakam, “kita masih sunyi daripada mendengar kesungguhan ahli-ahli politik yang sering menimbulkan polimik di negara ini untuk membawa OKU ke satu era yang lebih baik”.

“Apa maknanya ini? Pada hemah saya, ia menunjukkan isu OKU masih tidak mendapat tempat di hati politikus,” katanya.

Namun begitu, pemuda berkenaan yang tinggal di Kota Bharu tetap tidak mahu berundur daripada perjuangan membela minoriti OKU. Atas dasar itulah juga Persidangan OKU Darul Naim Peringkat Kebangsaan mahu dijadikan forum tahunan atau dwitahunan.

Katanya, ia penting bagi membolehkan OKU terus berganding dan bersatu dalam usaha mewujudkan kehidupan yang lebih baik dan berkebajikan di negara bertuah ini.

“Apa yang nyata, seminar tersebut telah memberi saya kekuatan untuk membawa isu OKU secara lebih serius dan terancang. Seminar itu juga menjadi medan penting untuk penggerak OKU di Kelantan dalam mengenengahkan isu OKU kepada awam di Kelantan dan seterusnya ke peringkat nasional.

“Kami juga dapat menyatakan kepada orang awam betapa kehidupan OKU tidak seindah sebagaimana tanggapan kebanyakan masyarakat,” katanya dengan semangat yang sama seperti yang ditunjukkannya apabila kami bersarapan bersama-sama di Selera Daun Pisang, Jalan Pengkalan Chepa pada 12 Mac 2012.

KPWKM maklum, ambil berat

Jika politikus tidak mengendahkan memorandum tersebut, bagaimana pula dengan Kerajaan Persekutuan; khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang kini diterajui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak?

Menurut Mohammad Faizal, pihaknya dimaklumkan bahawa KPWKM mengambil berat memorandum tersebut. Namun, ini bukanlah memorandum pertama daripada kumpulan-kumpulan OKU. Justeru, beliau tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa.

“Apa yang penting, menerusi penyerahan memorandum itu, kami dokumentasikan isu OKU secara menyeluruh dan bersama. Pembabitan Majlis Peguam Malaysia dan Suhakam dalam penyerahan memorandum ini sekali gus menyatakan bahawa isu OKU yang kami depani bukanlah suatu yang dicipta (direka-reka).”

Kelompok minoriti sering kali dikatakan cuba meraih simpati tanpa mahu berusaha dan bersaing bersama-sama kelompok majoriti. Saya cuba mendapatkan pandangan Mohammad Faizal dengan mengkhususkan kepada golongan OKU.

“Secara kemanusiaan, tidak dapat lari daripada hakikat bahawa kami meraih simpati meskipun di sana ada istilah yang lebih tepat iaitu empati. Namun begitu, saya suka berpijak pada suatu yang nyata iaitu perasaan simpati mudah timbul bilamana kami mengutarakan isu-isu yang kami hadapi. Lebih dari itu, simpati terhadap OKU itulah yang kami perlukan untuk suatu perlaksanaan program pembangunan OKU yang menyeluruh di Malaysia,” beliau terterus-terang.

Minoriti yang dipinggirkan



Adakah Mohammad Faizal menganggap OKU sebagai “minoriti yang dipinggirkan”? Demikian soalan seterusnya yang saya tujukan kepada beliau. Peguam dan aktivis OKU itu percaya bahawa pihak berkuasa tentunya sensitif dengan dakwaan OKU dipinggirkan.

“Harus diingat, apabila saya sebut pihak berkuasa, ia boleh jadi kerajaan diterajui Barisan Nasional, atau kerajaan diterajui Pakatan Rakyat,” beliau menegaskan.

Jika setiap persoalan dan permasalahan OKU diteliti, tidak dapat tidak Mohammad Faizal berpendirian memang berlaku peminggiran. Pada penelitiannya, apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan lebih kepada “melepaskan batok di tangga”.

“Meskipun banyak usaha yang cuba dilakukan, namun perancangan yang diatur banyak yang tak menjadi di sana sini. Kami sekali-kali tidak menyalahkan pegawai yang bertugas. Ia adalah persoalan komitmen kerajaan atau lebih tepatnya kuasa politik yang menerajui dan membentuk polisi,” katanya dengan penuh yakin.

Maka, apakah yang boleh dilakukan oleh “kumpulan prihatin” dan aktivis sosial yang berminat untuk “bersuara” bagi pihak OKU? Menjawab pertanyaan ini, Mohammad Faizal berkata, apa yang paling penting adalah persepsi pada kehidupan OKU perlu diperbetulkan.

“Kami manusia biasa, ada lebih ada kurang. Jangan pandang kami terlalu lemah. Jangan pandang kami terlalu hebat kerana ada yang boleh buat itu dan buat ini,” beliau meluahkan secara ikhlas.

Konsep OKU sentiasa berkembang

Mohammad Faizal menghuraikan bahawa dalam mengetengahkan isu OKU, beliau mengharapkan seluruh sistem yang terdiri daripada pihak pemerintah, masyarakat dan setiap lapisan kepimpinan mendengar dan melibatkan golongan OKU dalam penghasilan polisi dalam sistem kenegaraan.

“OKU adalah suatu konsep yang setiasa berkembang. Walaupun kami dikatakan minoriti, kami lebih ramai daripada Orang Asal dan jauh lebih ramai daripada peneroka Felda. Jika dirujuk pada apa yang dianggarkan oleh WHO dan World Bank menerusi laporan bersama 2011, populasi penduduk yang terdiri daripada OKU dianggarkan seramai 15 peratus. Bayangkan jika Malaysia mempunyai 28 juta penduduk, dianggarkan 4.2 juta adalah OKU,” katanya sambil menambah bahawa sehingga kini, hanya ada sekitar 361 ribu OKU yang berdaftar di Malaysia.

Peguam muda itu ternyata mempunyai maklumat dan data yang lengkap untuk membolehkannya bangkit sebagai pejuang dan aktivis golongan OKU yang disegani.

Seperti yang saya nyatakan dalam novel Panchayat: Edisi Khas (2012), saya menentang sekeras-kerasnya segala bentuk penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan oleh mana-mana pihak.

Apatah lagi jika mangsanya adalah OKU dan minoriti yang sepatutnya dibela oleh pihak berkuasa.

Golongan minoriti yang bermaruah memerlukan ruang untuk bersuara; ruang untuk berdialog demi mencari penjernihan minda terhadap isu-isu sebenar yang berada di depan mata. Itulah juga yang giat dilakukan oleh Mohammad Faizal walaupun usaha murninya ternyata penuh duri dan ranjau.

Lebih banyak catatan Mohammad Faizal mengenai isu-isu OKU boleh dibaca di www.bprihatin.blogspot.com

No comments: