Sunday, September 4, 2011

Somalia janji siasat kes tembak wartawan Malaysia

THE MALAYSIAN INSIDER

MOGADISHU— Punca kejadian tembakan peluru sesat yang menyebabkan kematian jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor di sini semalam akan disiasat Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Somalia.

Menterinya Abdisamad Maallin Mohamud berjanji dalang di sebalik kejadian itu dicari dan dihadapkan ke mahkamah.

Beliau meminta maaf terhadap tragedi itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh warga Malaysia berikutan kematian Noramfaizul.

“Ini (tembakan) bukannya daripada kerajaan... bukan daripada Al-Shabaab (pihak berkuasa). Ia dari tembakan pasukan lain dan kita akan menyiasat kenapa ini berlaku dan kenapa (rakyat Malaysia) diserang,” kata Abdisamad, demikian menurut laporan Bernama Online.

Noramfaizul, 39, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.

Kejadian berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan semasa kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki anggota misi seramai enam orang dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

Sementara itu, ketua misi bantuan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata. kemalangan yang meragut nyawa Noramfaizul itu sukar diterima rakyat Malaysia.

Abdul Azeez berkata beliau menuntut siasatan menyeluruh dan penjelasan daripada kerajaan Somalia berhubung kejadian itu.

“Kenapa pasukan tentera melakukan ini kepada kita. Ini kita tidak boleh terima. Mesti ada siasatan menyeluruh. Rakyat Somalia mesti mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” Abdul Azeez berkata kepada Abdisamad.

Abdul Azeez juga berkata, jenazah Noramfaizul telah diuruskan dan persiapan dibuat untuk membawa balik jenazahnya ke Malaysia dengan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Suasana pilu di sini. Semua yang lain selamat. Semalam merupakan perjalanan terakhir tetapi terkena peluru sesat... tak tahu dari mana,” kata Abdul Azeez.

Menurutnya, anggota perubatan kelab itu telah cuba sedaya menyelamatkan Noramfaizul tetapi gagal.

Misi tersebut yang berlepas pada 28 Ogos lalu dari Kuala Lumpur bertujuan membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia, dijadual pulang esok, yang sepatutnya Isnin ini.

No comments: