Thursday, September 1, 2011

Sepuluh Buah Kanopi Di Bazar Ramadan Padang MPK 2 "Musnah Di Pukul Ribut" Pada Ahad Lalu!

PAHANG DAILY


KUANTAN - Sebanyak 10 buah gerai jualan di Bazar Ramadan di Padang MPK2 dekat sini telah rosak teruk akibat dipukul ribut pada Ahad (28 Ramadan) lalu. Kejadian yang dipercayai berlaku semasa umat Islam sibuk berbuka puasa itu tidak mengakibatkan kecederaan kerana orang ramai sudah mula berkurangan di kawasan terbabit.

Difahamkan, ketika kejadian hujan lebat turun di kawasan terbabit dan disertai dengan ribut yang cukup dasyat. Menurut seorang saksi, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku di kawasan Bazar Ramadan Padang MPK2 berhadapan dengan Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Sebelum ini kejadian yang sama melibatkan lokasi lain seperti bazar di Mahkota Square, berhadapan Masjid Negeri Sultan Hj.Ahmad Shah 1. Malah, awal Ramadan yang lalu kejadian yang sama berlaku di tapak Expo Jualan di Teluk Chempedak yang mengakibatkan lima buah kanopi rosak teruk. Kejadian terbaru yang berlaku ini sungguh mengejutkan ramai pihak terutamanya mereka yang berkunjung ke bazar Ramadan terbabit.

Namun, ramai juga yang mengatakan kejadian yang berlaku itu adalah satu peringatan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang cuai terhadap kewajipan masing-masing. Ini kerana, ramai dikalangan peniaga bazar Ramadan sebenarnya membuka gerai jualan mereka sejak dari jam 4.00 petang lagi iaitu sebelum Asar.

Ini menyebabkan ramai dikalangan mereka terlepas menunaikan solat Asar semata-mata mahu mencari rezeki berniaga di bulan Ramadan. Malah, selepas waktu berbuka puasa ketika itulah mereka sibuk mengemas barangan jualan masing-masing dan masih dilihat dikawasan terbabit hingga malam pada kebiasaannya. Ini menyebabkan, ramai yang terlepas menunaikan solat Maghrib, semata-mata mengejar keuntungan duniawi. Mungkin inilah yang dikatakan peringatan dari Allah.



Musnah, beginilah keadaan beberapa buah gerai jualan bazar Ramadan itu



Besi kanopi patah remuk akibat dipukul oleh ribut pada petang hari kejadian


[Justeru itu kepada umat Islam yang mencari rezeki di bulan Ramadan adalah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati selepas ini. Janganlah kerana ingin mencari keuntungan, mereka sanggup meninggalkan kewajipan kepada Allah SWT.

Langkah membuka gerai jualan sebelum Asar juga antara penyebab masing-masing tidak sempat untuk bersolat. Apatah lagi selepas waktu tersebutlah begitu ramai orang berpusu-pusu untuk mendapat juadah berbuka puasa mereka. Senario ini sebenarnya berlaku di mana-mana sejak sekian lama.

Ramai yang berniaga di Bazar Ramadan atas hasrat untuk mencari rezeki tapi akhirnya sia-sia bila meninggalkan tanggungjawab mereka itu. Malah, lebih mengecewakan lagi ada yang tidak menutup aurat dan berpakaian menjolok mata semasa berniaga. Ini amat bertentangan dengan kesucian bulan Ramadan itu sendiri. Lantaran itulah terkadang bala Allah datang tanpa diundang. Semuanya adalah satu peringatan untuk manusia-manusia yang lalai. Oleh itu berhati-hatilah].

No comments: