Saturday, September 3, 2011

Pakatan pertahan Mat Sabu, dakwa Umno-BN palsukan sejarah


KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat mempertahankan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) dalam isu kontroversi berkaitan kenyataan mengenai tragedi Bukit Kepong, sebaliknya mendakwa Umno-BN secara sistematik 'memalsukan' sejarah Malaysia.

"Kami juga mempersoalkan naratif sejarah yang ditulis oleh 'pihak yang menang', yang dalam kes ini ditulis oleh Kerajaan Umno-BN dan perkakas propaganda mereka.

"Dalam hal ini, kami ingin memberikan kritikan tegas terhadap usaha sistematik berdekad-dekad lamanya untuk 'memalsukan' sejarah Malaysia, agar hanya sumbangan Umno dan sekutu mereka yang diiktiraf sementara sumbangan jelas dari nasionalis Malaysia dan pejuang kemerdekaan yang lain dipadamkan," kata kepimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kenyataan dikeluarkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Komunikasi

Nik Nazmi Nik Ahmad dan setiausaha antarabangsa DAP Liew Chin Tong.

Dengan memetik kenyataan Winston Churchill pernah berkata bahawa "sejarah ditulis oleh pihak yang menang", kata mereka, di Malaysia, bukan sahaja sejarah malah berita semasa juga ditulis mengikut skrip mereka yang berkuasa.

"Beberapa hari kebelakangan ini, media milik BN telah menyerang Mat Sabu secara berterusan sebagai seorang simpatisan komunis.

"Mereka telah memfitnahnya sebagai mengagung-agungkan pengganas komunis yang menyerang polis di dalam tragedi Bukit Kepong," kata mereka dalam kenyataan itu.

Pemimpin Pakatan Rakyat ini berkata kedua-dua dakwaan itu tidak benar sama sekali.

"Kami percaya Saudara Mat Sabu tidak berkata demikian dan secara tegas mengutuk putar belit yang tidak bertanggungjawab oleh pimpinan dan media Umno.

"Pertama sekali, Mat Sabu tidak sekali-kali menyebut tentang komunis ataupun PKM. Kedua, usahanya untuk menarik perhatian terhadap sejarah sebenar yang luas telah diputarbelitkan," katanya lagi.

Justeru kata mereka, pihaknya mahu menegaskan bahawa mereka tidak mempersoalkan sebab Mohamad cuba menimbulkan persoalan terhadap naratif sejarah negara.

"Tetapi kami secara serius mempersoalkan laporan cuai dan berniat jahat Utusan Malaysia, yang sekali lagi menggunakan hujah palsu dan tipu helah dengan niat yang jahat," kata kenyataan mereka.

Kata mereka, apa sudah jadi kepada tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamed (Pak Sako) dan ramai lagi?

"Bagaimana dengan pertubuhan dan gerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)? Mereka merupakan peneraju sebenar aktivisme politik Melayu.

"Kita juga mempunyai Perlembagaan Rakyat yang terhasil 10 tahun sebelum Merdeka oleh Pusat Tenaga Rakyat dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

"Usaha PUTERA-AMCJA ini bukan sahaja bersejarah dari segi usaha mereka, malah merekalah pakatan politik pelbagai kaum pertama negara," tambah kenyataan.

Ketiga-tiga pemimpin ini berkata, harus diingat perjuangan kemerdekaan bukanlah usaha Perikatan semata-mata. Perjuangan murni ini berlangsung di pelbagai medan dan lapangan, dipimpin pelbagai tokoh dan menerusi pelbagai cara, kata beliau.

"Bukankah pengorbanan tokoh-tokoh menentang penjajah seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh dan ramai lagi juga mesti disertakan?

"Tetapi pemimpin Utmno idak mampu menerima kepelbagaian ini. Sejarah yang ditulis Umno ialah hanyalah satu versi yang tiada ruang untuk berbeza pandangan," kata kenyataan mereka.

Malah tambah mereka, "hakikatnya, jika kita membaca sejarah Malaysia menerusi tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako dan lain-lain lagi, kita akan mendapati kisah aktivisme sosial, pejuangan kebangsaan, antikolonialisme dan kemudian ketakutan institusi dan penindasan yang menyaksikan mereka dan ramai lagi ditangkap dan ditahan di bawah ISA oleh kerajaan Perikatan/BN setelah difitnah, antara lain, menjadi talibarut komunis."

Tegas mereka, buku-buku sejarah negara bukan sahaja kehilangan satu atau dua bab, tetapi satu sejarah yang selari tetapi telah berjaya dipadamkan daripada rekod rasmi negara.

"Jelas sekali lagi bahawa Umno mempunyai kepentingan untuk mengekalkan versi sejarah mereka memandangkan ini menjadi asas kepada pemimpin serta kekuasaan mereka, malah menutup tipuhelah mereka untuk menindas pihak lawan dan penentangan sah setelah lima dekad berkuasa.

"Sekali lagi kami menegaskan bahawa Mat Sabu tidak salah dalam usaha mempersoalkan persepsi yang wujud tentang sejarah negara," kata mereka sambil menambah, yang menjadi kesalahan ialah hakikat bahawa rakyat Malaysia telah dimanipulasi sekian lama oleh perkakas propaganda Kerajaan Umno-BN.

No comments: