KUALA LUMPUR - Jenazah Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor selamat dikebumikan sebentar tadi di Universiti Putra Malaysia (UPM). Allahyarham yang selamat tiba pagi tadi diiringi Sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan Somalia Kelab Putera 1Malaysia pimpinan Datuk Azeez Rahim.
Sementara itu, Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, Jumaat lalu, dan menggesa supaya satu prosedur operasi standard ditampilkan untuk diguna pakai oleh anggota media yang ditugaskan membuat liputan di zon perang.
Presidennya, Mokhtar Hussain dalam satu kenyataan, berkata satu prosedur operasi standard perlu ditampilkan segera bagi memelihara keselamatan para wartawan yang membuat liputan di zon perang atau di kawasan tidak selamat.
Beliau berkata, contohnya mereka perlu dibekalkan dengan pelbagai alat perlindungan dan diberi taklimat mengenai apa yang perlu dilakukan dalam keadaan kecemasan.
Mokhtar yang pernah menerajui operasi editorial di BERNAMATV berkata, beliau mengenali Noramfaizul secara peribadi dan Allahyarham adalah seorang yang amat bersemangat tinggi dan komited dalam melaksanakan setiap tugasan.
"Allahyarham adalah seorang yang periang yang mudah didekati, seorang pekerja yang rajin dan tidak pernah cuba mengelak daripada melaksanakan apa jua tugas dan tanggungjawab yang diserahkan kepadanya," katanya.
Noramfaizul, 39, terkorban akibat terkena tembakan curi semasa kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bersama petugas media Malaysia yang diiringi tentera kerajaan Somalia ditembak semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan di Mogadishu selepas membuat liputan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia itu.
Mokhtar berkata, kematian Noramfaizul adalah satu kehilangan besar kepada BERNAMATV secara khususnya, dan kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) secara amnya.
Katanya, diharapkan keluarga Allahyarham akan dapat menghadapi kehilangan itu dengan penuh tabah.
Noramfaizul meninggalkan seorang isteri, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki, Mohd Irfan, yang berumur lapan tahun dan Mohd Naufal, tiga tahun.
No comments:
Post a Comment