Friday, September 2, 2011

LZS Bantu Unit Selamat Akidah

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memberi kerjasama penuh terhadap Unit Selamat Akidah ditubuhkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, LZS akan segera memproses semua borang yang diisi oleh pemohon yang akan datang ke pejabat Dr Hasan bermula 5 September depan.

Menurutnya, tiga perkara menjadi fokus utama LZS iaitu semakan terperinci dan teliti setiap borang pemohon, pemberian bergantung kepada kategori asnaf dan mengikut tata cara LZS.

“Apabila semua maklumat sudah diperolehi berdasarkan borang yang diisi pemohon, LZS akan meneliti dan menyiasat setiap maklumat di dalamnya. Pemohon yang layak dibantu, akan menerima bantuan sewajarnya.

“Selepas semakan, mereka akan dibantu mengikut kategori asnaf iaitu asnaf fakir, miskin, muallaf, Al-Riqab (hamba), Gharimin (mereka yang berhutang), fi sabillillah dan Ibnu Sabil,” katanya.-Sinar Harian-

No comments: