KUALA LUMPUR — Human Rights Watch menegaskan Australia sendiri yang perlu mengambil tanggungjawab melayan tuntutan pencari-pencari suaka di wilayahnya tanpa bergantung pada negara-negara lain ekoran satu keputusan bersejarah mahkamah negara itu semalam.
“Mahkamah menyedari (kewujudan) satu perjanjian kotor apabila perkara itu dibawa kepadanya,” kata Pengarah Program Pelarian Human Rights Watch, Bill Frelick, dalam satu kenyataan.
“Mahkamah Tinggi Australia memutuskan dengan muktamad rancangan berniat jahat kerajaan, yang boleh melanggar hak asasi pencari suaka di Australia,” katanya lagi.
Bagaimanapun lewat petang semalam, Malaysia mengumumkan bahawa Putrajaya akan bekerja rapat dengan kerajaan Australia untuk mencari jalan terbaik bagi menangani isu pencari suaka dan pemerdagangan manusia ekoran keputusan mahkamah semalam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar kiri) berkata perjanjian antara kedua-dua kerajaan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan isu pemerdagangan manusia.
Semalam, Mahkamah Tinggi Australia memutuskan perjanjian berhubung urusan pertukaran pencari suaka antara Canberra dan Putrajaya sebagai tidak sah.
Ketua Hakim Robert French memutuskan “deklarasi (perjanjian) dibuat tanpa kuasa dan oleh itu tidak sah.”
Justeru, mahkamah memutuskan tiada pencari suaka politik boleh dihantar ke Malaysia oleh kerajaan Australia.
Mahkamah mengadakan sidang khas minggu lalu untuk mempertimbangkan hujahan oleh para peguam yang mewakili sekumpulan ‘orang hanyut’ yang mahu rancangan penghantaran 800 pencari suaka ke Malaysia dibatalkan.
Barisan peguam itu berpendapat Menteri Imigresen Chris Bowen (gambar kanan) tidak mempunyai kuasa untuk menghantar pencari suaka ke Malaysia kerana negara itu tidak mempunyai obligasi perundangan untuk melindungi mereka.
Mereka juga berhujah bahawa penghantaran kanak-kanak tanpa ditemani orang dewasa ke Malaysia merupakan pengabaian tugas Bowen sebagai penjaga di sisi undang-undang untuk bertindak demi kepentingan mereka.
Mewakili seorang pencari suaka remaja yang tiba di Australia selepas perjanjian dengan Malaysia dimeterai bulan lepas, peguam remaja itu, Richard Niall, memberitahu mahkamah minggu lalu bahawa penghantaran ke Malaysia bukan merupakan kepentingan anak guamnya itu.
Mengikut perjanjian dengan Malaysia, Australia akan menghantar 800 pencari suaka yang tiba di negara itu dengan bot, ke Malaysia bagi diproses tuntutan mereka untuk diisytiharkan sebagai pelarian.
Australia pula akan menerima 4,800 pendatang dari Malaysia yang sudah diberi status pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
No comments:
Post a Comment